WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Upacara Keagamaan, Aktiviti Riadah Bersama Keluarga Meriahkan Sambutan Krismas

25/12/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Sambutan Krismas di seluruh negara tahun ini disambut meriah yang menyaksikan penganut Kristian memanfaatkan hari istimewa ini untuk melaksanakan upacara keagamaan dan tradisi perayaan.

Di PULAU PINANG, cuaca cerah pada awal pagi menceriakan lagi sambutan di Minor Basilica of St Anne, Bukit Mertajam yang menjadi tumpuan untuk upacara keagamaan apabila gereja berusia lebih 100 tahun ini tidak putus-putus dikunjungi orang ramai. 

Tinjauan Bernama mendapati mereka yang hadir bersama ahli keluarga sambil memakai pakaian serba baharu turut tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan  di pekarangan gereja berkenaan.

Di PERAK, ratusan penganut agama Kristian termasuk warga asing membanjiri Gereja Katolik St Anthony di Teluk Intan yang berusia lebih 100 tahun, bersama keluarga dan sahabat handai dengan memakai pakaian berwarna-warni.

Bangunan ikonik Menara Condong Teluk Intan turut menjadi tumpuan ramai sempena cuti umum hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, hujan renyai sejak awal pagi tadi tidak menghalang kehadiran kira-kira 300 orang ke gereja Church of the Visitation, Seremban seawal 7.30 pagi. 

John, 60, ketika ditemui berkata sambutan Krismas kali ini diraikan secara sederhana bersama keluarga di rumahnya di Taman Bukit Galena, Seremban, dimulakan dengan acara makan besar tengah malam tadi diikuti sembahyang di gereja pada pagi ini.

Di TERENGGANU, upacara di Gereja Presbyterian di Kuala Terengganu bermula pada 10 pagi dengan rata-rata yang hadir dalam kalangan warga emas.

Di KELANTAN mereka yang meraikan perayaan ini memenuhi Gereja Katolik di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu untuk mengikuti upacara keagamaan selain pelbagai aktiviti seperti pertukaran hadiah dan nyanyian.

Di JOHOR, Gereja Immaculate Conception di Johor Bahru menjadi tumpuan kira-kira 2,000 penganut Kristian.

Pengawal keselamatan Cyril Benedict berkongsi kemeriahan suasana di gereja itu dengan lagu dan doa sambil menyatakan kegembiraan meraikan Krismas bersama masyarakat berbilang bangsa.

Di KEDAH, beberapa lokasi riadah di sekitar Alor Setar menjadi tumpuan ramai yang mengambil peluang  untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Di PERLIS, sambutan Krismas di Gereja Baptist Perlis di Kangar berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik, khususnya kepada kanak-kanak. 

Pada sambutan kali ini, pihak gereja turut menganjurkan aktiviti seperti hiasan seni.

Tinjauan Bernama di lokasi tumpuan pelancong iaitu di Padang Besar mendapati orang ramai bersama keluarga masing-masing tidak melepaskan peluang mengunjungi arked niaga di sini.

Di MELAKA perayaan ini disambut meriah oleh masyarakat Portugis di perkampungan di Ujong Pasir. 

Penduduk di perkampungan itu Sharon De Roache, 55, berkata setiap tahun kawasan berkenaan akan dihiasi dengan pelbagai dekorasi berwarna-warni selain dan pertunjukan bunga api turut diadakan pada sebelah malam. 

Kemeriahan meraikan perayaan Hari Natal itu turut dirasai di PAHANG apabila hampir 800 penganut Kristian memenuhi Kuantan Chinese Methodist Church yang berusia lebih tujuh dekad di Jalan Gambut dengan kebanyakan menggayakan busana merah dan putih. 

Di SELANGOR, suasana kemeriahan menyelubungi Gereja Our Lady of Lourdes di Klang apabila keluarga dan sahabat handai berkumpul sambil mengeratkan silaturahim.

Di SARAWAK, mercu tanda baharu bandar raya ini Gereja St Peter yang siap dibina Oktober lepas meriah dengan kehadiran kira-kira 2,000 penganut Kristian. 

Pensyarah Eric Ting Ngee Kwang, 53, berkata gereja baharu itu telah menerima sambutan yang luar biasa dengan kehadiran pengunjung dari pelbagai latar belakang.

Di SABAH, loceng Gereja St Michael di Penampang salah daripada gereja tertua di negeri itu yang diasaskan pada tahun 1947 yang bergema pada pagi Krismas menarik ratusan penganut terdiri pelbagai generasi. 

Sambutan turut berlangsung di Dewan Hongkod Koissan di Kota Kinabalu dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menganjurkan rumah terbuka. 

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam perutusan Krismas, menyeru komitmen berterusan terhadap perpaduan dan toleransi dalam masyarakat berbilang budaya di Sabah yang terdiri 35 kumpulan etnik dan 217 subetnik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan