WILAYAH - SABAH > BERITA

Sabah 2024: Kepimpinan Dan Persiapan Hadapi PRN-17

26/12/2024 10:51 AM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 26 Dis (Bernama) -- Sabah berada di ambang tahun penuh transformasi dengan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri ke-11 berkuat kuasa 1 Jan 2025 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang semakin menghampiri.

Pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah itu selepas dikurniakan Surat Cara Pelantikan jawatan berkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 17 Dis lepas, menandakan satu pencapaian penting dalam kepimpinan negeri ini.

Pengalaman politik luas dimiliki ketua menteri paling lama berkhidmat untuk Negeri Di Bawah Bayu itu dijangka membawa pengaruh yang stabil sepanjang tempoh kritikal ini.

Menjelang 2025, arena politik Sabah semakin rancak dengan kerjasama dan strategi kempen PRN yang dirangka. 

Perkembangan ini sudah tentunya mempengaruhi pilihan raya terbabit, satu peristiwa penting yang akan menentukan hala tuju negeri ini pada masa akan datang.

Parti-parti politik terutama yang berada dalam gabungan parti pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mula mengatur strategi mereka bagi mendepani PRN itu, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada suku keempat 2025.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu sudah menyatakan hasrat menarik Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan usaha membangunkan Sabah dan membela nasib rakyat negeri itu menerusi Pelan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Malah, Hajiji sendiri telah menyatakan komitmen kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dan sedia berbincang dengan parti lain yang mempunyai matlamat sama dalam membela hak rakyat Sabah. 

PH Sabah pula bakal mendepani PRN itu menerusi kepimpinan baharu, dengan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick dipilih sebagai pengerusi pada 1 Dis lepas untuk penggal 2024-2026.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah menunjukkan hasratnya untuk berunding dengan parti komponen PH di Sabah iaitu DAP, PKR dan Amanah bagi mendengar pendapat mereka sebelum merangka langkah seterusnya menjelang pilihan raya itu kelak.

Sabah mempunyai 73 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipilih dan enam ADUN dilantik.

Pada masa ini kerajaan Sabah terdiri daripada 46 ADUN GRS, PH (7), seorang ADUN daripada Barisan Nasional (BN) serta seorang daripada Perikatan Nasional (PN).

BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengadakan perbincangan dengan PH mengenai peluang untuk bekerjasama.

Meskipun Ahmad Zahid sudah memberi gambaran mengenai kerjasama BN dan PH, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan parti lain termasuk Parti Warisan (Warisan).

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga tidak berselindung dengan hasrat parti itu untuk bekerjasama dengan BN, malah telah bertemu dengan Ahmad Zahid dan Bung Moktar bagi membincangkan kerjasama itu. Bagaimanapun, tiada keputusan muktamad dicapai setakat ini.

Berkaitan isu integriti, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata kepimpinan negeri itu menerusi Datuk Phoong Jin Zhe, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, telah memberikan penerangan terperinci berhubung lapan ADUN Sabah yang dikaitkan isu rasuah dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti terbabit.

Hal itu susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang baru-baru ini merekodkan keterangan daripada 15 individu termasuk lapan ADUN itu.

Sehubungan itu, CEC DAP memberi mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan parti dalam pentadbiran kerajaan negeri itu dan mengambil tindakan selanjutnya memandangkan DAP Sabah lebih memahami isu di negeri itu.

Pada masa sama, isu tempatan dijangka menjadi tumpuan dan bahan kempen pada PRN Sabah nanti terutama melibatkan pengurusan pendatang tanpa izin, peningkatan kos sara hidup, kemiskinan dan pembangunan dengan isu terhangat dijangka berkaitan pematuhan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagaimanapun, kerjasama erat kerajaan Sabah dan Persekutuan ketika ini telah memberi perkembangan positif dalam pelaksanaan apa terkandung dalam MA63 itu tahun ini, malah di bawah Kerajaan Perpaduan banyak isu legasi yang membelenggu usaha pelaksanaan itu berjaya diselesaikan dalam masa singkat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada September lepas dilaporkan berkata 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 berjaya diselesaikan, dengan tujuh daripadanya diselesaikan di bawah pentadbiran Anwar.

Tuntutan berkenaan antaranya melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) berkata penyelesaian turut merangkumi tuntutan berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Turut menarik perhatian ialah pengumuman Anwar mengenai cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar Pemberian Khas Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta pada tahun hadapan ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober lepas.

Daripada peralihan kepimpinan hingga isu di peringkat akar umbi, Sabah bersiap sedia untuk  menghadapi tahun penuh peristiwa penting. Perhatian kini tertumpu kepada negeri ini ketika mengharungi detik penentu dalam sejarah politiknya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan