WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerja Pembersihan Tumpahan Minyak Sawit Di Lebuhraya Karak Selesai - LUAS

27/12/2024 03:19 PM

SHAH ALAM, 27 Dis (Bernama) -- Kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak susulan insiden kemalangan lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit di Kilometer (KM) 27.9 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur selesai dilaksanakan malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kenyataan di Facebook, memaklumkan baki kerja hari ini diteruskan dengan pengalihan keluar sisa bungkusan minyak yang telah dikumpulkan oleh pemilik kenderaan terbabit.

“Tiada gangguan kepada keadaan Sungai Gombak sepanjang kerja pembersihan dijalankan hasil daripada pemantauan rapi oleh LUAS bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Pemerhatian juga mendapati keadaan semasa di tapak tumpahan adalah terkawal," menurut kenyataan itu.

Insiden yang berlaku sekitar 12.30 tengah malam kelmarin itu menyaksikan 20 tan minyak kelapa sawit tertumpah, mengalir ke dalam longkang berhampiran sebelum bertakung di kebuk takungan lebuh raya dan mengalir ke anak Sungai Gombak.

Kejadian itu telah menjejaskan bekalan air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak dari pukul 2 pagi hingga 6 petang pada hari kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan