WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Permohonan Pengampunan Kesalahan Di Wilayah Persekutuan Perlu Dikemuka Kepada Lembaga Pengampunan

28/12/2024 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Semua permohonan pengampunan bagi kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan perkara itu, selain permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan undang-undang serta peraturan berkuat kuasa, bukannya menerusi saluran lain.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan mana-mana banduan termasuk (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumah, permohonan berkenaan perkara itu hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.

AGC memaklumkan berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan antara lain bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.

“Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang," menurut kenyataan itu.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, namun hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara manakala denda dikurang kepada RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 Sept 2022.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa wujud titah adendum diraja yang membolehkan beliau menjalani hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan