WILAYAH - SARAWAK > BERITA

2025: Sarawak Perlu Melangkah Dengan Semangat Baharu - Abang Johari

31/12/2024 05:33 PM

KUCHING, 31 Dis (Bernama) -- Tahun 2025 merupakan peluang buat seluruh warga Sarawak untuk melangkah dengan semangat baharu demi membawa kemajuan kepada Bumi Kenyalang.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak berbangga dengan pencapaian yang dicapai sepanjang 2024 hasil daripada kerjasama, perpaduan dan usaha gigih seluruh lapisan masyarakat.

“Pada 2025 ini, marilah kita terus bertekad untuk memajukan Sarawak ke arah negeri yang makmur, sejahtera dan inklusif.

“Dengan pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, saya yakin negeri ini mampu membangun melalui dasar yang mampan dan lestari,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.

Abang Johari berkata 2025 adalah tahun terakhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dilaksanakan.

Beliau berkata di bawah RMK12, Sarawak telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik, bekalan air serta projek sosioekonomi seperti pembangunan industri kecil dan sederhana (SME).

“Saya berharap usaha untuk melaksanakan RMK12 di Sarawak dipertingkatkan pada tahun hadapan agar kesemua projek yang telah disenaraikan dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat rakyat, khususnya projek fizikal.

“Pada 2025 juga, kajian separuh penggal akan dilaksanakan terhadap Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi menilai kejayaan pelaksanaan program dan projek di bawah PCDS 2030,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan