Malaysia sedang mendepani perubahan demografi yang ketara, ditunjukkan oleh penurunan berterusan kadar kesuburan rakyatnya.
Berdasarkan statistik demografi terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kelahiran hidup di Malaysia merosot sebanyak 12.3 peratus kepada 100,645 pada suku ketiga 2024 berbanding 114,764 kelahiran pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Begitu juga dengan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) yang menunjukkan penurunan daripada 2.1 orang anak bagi setiap wanita berusia 15 hingga 49 tahun pada 2010 kepada 1.7 pada 2023, jauh di bawah paras penggantian, iaitu 2.1 orang anak.
(Paras penggantian merujuk jumlah purata anak yang harus dilahirkan oleh seorang wanita bagi menggantikan dirinya dan pasangan, memastikan kestabilan populasi tanpa adanya penghijrahan).
Menurut pakar, trend ini membawa implikasi besar terhadap masa depan Malaysia, kerana penguncupan jumlah penduduk muda disebabkan oleh penurunan kadar kesuburan berpotensi mengakibatkan kekurangan sumber manusia, pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan meningkatkan beban sistem kebajikan masyarakat bagi menyokong populasi menua.
Pakar kesihatan melihat penurunan ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor termasuk peningkatan kos sara hidup, melewatkan perkahwinan, pembandaran, peralihan peranan jantina dan aspirasi kerjaya yang berkembang dalam kalangan wanita.
Persoalan utama yang perlu dipertimbangkan ialah cabaran yang mungkin dihadapi oleh Malaysia jika tiada intervensi dan sama ada pendekatan holistik – menyepadukan strategi ekonomi, sosial dan kesihatan – dapat menangani isu ini dengan berkesan.
PENINGKATAN KOS
Ketua Unit Kesihatan Reproduktif Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Wan Hilya Munira Mustapha berkata pemacu utama dalam perubahan demografi ini ialah peningkatan kos sara hidup, terutama di kawasan bandar, yang memberikan cabaran kewangan ketara dalam membesarkan anak.
“Sebagai contoh, di wilayah yang dipacu ekonomi seperti Lembah Klang, isi rumah dengan seorang anak membelanjakan kira-kira RM6,420 sebulan, manakala keluarga di Alor Setar (Kedah) membelanjakan sekitar RM5,130. Jumlah ini meliputi perbelanjaan penting seperti perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keperluan harian,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
pic-2
Selain itu katanya, ramai pasangan muda memilih menangguhkan untuk mempunyai anak, malah ada yang langsung tidak mahu bergelar ibu bapa disebabkan oleh pergerakan gaji statik dan sokongan terhad bagi penjagaan anak dan kebajikan keluarga.
Selain itu, perubahan sikap masyarakat juga memainkan peranan penting dalam mengubah dinamik keluarga dan antara perubahan paling ketara ialah trend menangguhkan perkahwinan.
“Usia purata wanita Malaysia berumah tangga telah meningkat daripada 23.5 tahun pada 1980 kepada 28.1 tahun pada 2020. Kelewatan berkahwin membawa impak langsung ke atas kelahiran kerana wanita yang berkahwin lambat selalunya tidak mempunyai ramai anak disebabkan tempoh reproduktifnya sudah pendek,” katanya.
Faktor-faktor yang menyumbang kepada kelewatan berkahwin ini termasuk wanita sekarang mengutamakan pendidikan dan perkembangan kerjaya selain mengejar kestabilan kewangan dan pencapaian diri sendiri sebelum memberi komitmen kepada perkahwinan dan menjadi ibu.
Dari segi budaya pula, masyarakat semakin menerima pilihan dan gaya hidup seseorang individu, tidak lagi berkisar tentang perkahwinan dan membina keluarga.
“Sekalipun perkembangan ini mencerminkan kemajuan dalam isu kesaksamaan jantina dan kemandirian, ia juga membawa cabaran kepada pertumbuhan populasi kerana jumlah anak bagi setiap isi rumah juga semakin mengecil,” katanya.
ISU KESIHATAN, KETIDAKSUBURAN
Menurut Dr Wan Hilya Munira, isu kesihatan, terutama subfertiliti dan ketidaksuburan, menambahkan lagi kadar penurunan dalam kesuburan.
Di peringkat global, ketidaksuburan menjejaskan satu daripada enam pasangan, dan Malaysia juga tidak terkecuali. Menurut data LPPKN, 60 peratus analisis sperma yang dilakukan bagi tempoh 2010 dan 2019 menunjukkan keabnomalan, mengetengahkan peningkatan ketara isu kesuburan dalam kalangan pasangan rakyat Malaysia.
pic-3
Isu kesuburan sering kali memerlukan intervensi perubatan yang bukan sahaja menelan belanja besar tetapi juga memberi kesan kepada emosi, menambahkan lagi tekanan kepada pasangan yang sedang berusaha untuk hamil.
Berhubung kebimbangan penurunan kadar kesuburan di Malaysia kini mengubah landskap demografi negara, selari dengan unjuran DOSM bahawa 17.3 peratus daripada populasi akan berusia 60 tahun ke atas menjelang 2040, beliau berkata pembaharuan dasar yang komprehensif perlu diambil bagi meningkatkan kadar kelahiran selain menggalakkan saiz keluarga yang seimbang.
Dasar-dasar ini mesti mengambil kira konteks sosioekonomi yang pelbagai dan menyediakan sokongan sama rata buat semua keluarga.
“Manfaatkan sepenuhnya insentif kerajaan, terutama berkaitan insentif kewangan untuk ibu bapa seperti faedah cukai, subsidi penjagaan anak dan cuti ibu bapa (parental leave) berbayar bagi meringankan beban kewangan dalam membesarkan anak.
“Langkah pelengkap seperti penyediaan rumah mampu milik, pendidikan berkualiti dan penjagaan kesihatan yang boleh diakses, akan mewujudkan persekitaran mesra keluarga,” tambahnya.
Dasar tempat kerja yang fleksibel termasuk opsyen bekerja jarak jauh berupaya memperkasa keluarga untuk berkembang, sambil pada masa sama mengekalkan kestabilan ekonomi dan emosi.
PERANCANGAN KELUARGA
Dr Wan Hilya Munira turut menekankan kepentingan perancangan keluarga serta akses kepada kaedah kontraseptif moden untuk menangani cabaran demografi Malaysia.
Beliau berkata perancangan keluarga membolehkan individu dan pasangan membuat pilihan yang berasaskan pengetahuan tentang bila (mahu memulakan keluarga) dan jumlah anak, menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik, kestabilan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan keluarga.
pic-4
Berhubung penggunaan kontraseptif, kadar prevalens kontraseptif (CPR) Malaysia kekal rendah pada 42.8 peratus setakat 2022, dan dianggarkan 33 peratus wanita melalui kehamilan tidak dirancang, demikian menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS).
(CPR merujuk peratusan wanita atau pasangannya yang menggunakan sebarang bentuk kontraseptif.)
Angka ini menyerlahkan jurang ketara dalam pendidikan dan akses kepada perancangan keluarga, menekankan keperluan meningkatkan inisiatif kesihatan awam dan mempromosikan penggunaan kontraseptif.
Menekankan keperluan inisiatif kesihatan awam bagi memerangi stigma, salah tanggapan dan akses terhad kepada kaedah kontraseptif moden, Dr Wan Hilya Munira berkata peningkatan pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang saksama adalah penting untuk merapatkan jurang ini.
Sementara itu, kumpulan advokasi perancangan keluarga dan kesihatan Persatuan Hak Kesihatan Wanita (RRAAM) berkata perancangan keluarga sering disalah anggap sebagai kunci mengehadkan jumlah anak dalam sesebuah keluarga.
“Perancangan keluarga harus dilihat dalam konsep lebih luas, membenarkan ibu, anak dan keluarga berkembang secara positif apabila mereka memperoleh maklumat berasaskan hak dan membuat pilihan tepat berdasarkan pengetahuan dalam hidup mereka.
“Apabila orang dapat merancang bila mereka mahu memulakan keluarga, iaitu apabila mereka mampu dan bersedia, ia akan memberi hasil langsung dan tidak langsung yang positif. Para ibu dapat pulih dengan sempurna daripada proses kehamilan dan anak-anak pula diberikan perhatian sepenuhnya, terutama di peringkat awal usia,” kata jurucakap RRAAM kepada Bernama.
Beliau berkata setiap individu harus mempunyai akses kepada maklumat dan perkhidmatan yang membolehkan mereka memutuskan sama ada mereka mahukan anak dan berapa ramai serta jarak antara setiap anak. Ini termasuk akses kepada pelbagai kaedah kontraseptif moden.
“Sebagai sebuah pertubuhan akar umbi yang kecil, kami berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan kesedaran melalui media sosial, sambil mengadakan bengkel seperti CREATE Workshop, bagi melengkapi doktor dan jururawat dengan pengetahuan tentang kaedah kontraseptif, termasuk kontraseptif jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Dr Wan Hilya Munira berkata penggemblengan perancangan keluarga dan kawalan kelahiran ke dalam strategi demografi adalah penting untuk pengurusan penduduk yang mampan. Ia juga membolehkan keluarga merancang kehamilan, sekali gus memastikan keputusan lebih baik untuk ibu dan anak sambil mengurangkan kelahiran berisiko tinggi dan tidak dirancang.
“Akses kepada kontraseptif juga melindungi tenaga kerja masa depan yang penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial