PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura boleh dihidupkan semula sekiranya terdapat penyertaan sepenuhnya daripada sektor swasta, dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta kerana peruntukan perbelanjaan kerajaan mempunyai hadnya dan ketika ini masih menunggu cadangan yang berpotensi.
“Kita (kerajaan) perlu memberikan keutamaan kepada usaha membasmi kemiskinan, tebatan banjir, isu infrastruktur asas, pendidikan dan kesihatan awam sekurang-kurangnya bagi tempoh satu atau dua tahun lagi, jadi projek mega terpaksa ditangguhkan kerana komitmen untuk menyelesaikan isu tertunggak.
"Kami masih menunggu penyertaan yang positif dan berpotensi daripada sektor swasta untuk diteruskan apabila perlu...sudah ada beberapa cadangan dan pasukan petugas sedang menelitinya," kata beliau pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.
Wong berada di sini sempena lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam.
Sementara itu, Wong berkata kerajaan Singapura terbuka menerima sebarang cadangan baharu daripada Malaysia berkaitan pelaksanaan semula projek HSR KL-Singapura.
"Malang sekali kita tidak dapat meneruskan rancangan pada asalnya. Bagi kami, hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara kita sentiasa menjadi kelebihan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial