BUKIT MERTAJAM, 7 Jan (Bernama) -- Seorang remaja perempuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menikam ibu saudaranya, Jumaat lepas.
Tertuduh yang berusia 14 tahun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibu saudaranya yang berusia 34 tahun, dengan menggunakan sebilah pisau di flat di Jalan Prai Jaya, Seberang Perai Tengah di sini pada 11.30 pagi, 3 Jan lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan menawarkan jaminan RM5,000 manakala tertuduh yang diwakili peguam Muhaimin Hashim merayu agar wang jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya merupakan seorang kanak-kanak dan masih bersekolah.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 20 Mac 2025 bagi mendapatkan laporan forensik dan perubatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial