WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM200 Kepada Penjawat Awam Di Negeri Sembilan

07/01/2025 03:16 PM

SEREMBAN, 7 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Aidilfitri bernilai RM200 kepada hampir 50,000 penjawat awam yang bekerja di negeri ini, disalurkan sebelum bulan Mac ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pemberian yang pertama kali dilaksanakan itu membabitkan semua penjawat awam termasuk jabatan Persekutuan, guru, polis, bomba, tentera dan  perkhidmatan lain, melibatkan peruntukan hampir RM10 juta.

"Ini diharap menjadi motivasi dan dorongan kepada semua untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Insentif ini datang dengan tanggungjawab lebih besar agar kita berusaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 ysng dihadiri kira-kira 1,500 penjawat awam di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zafir Ibrahim dan Exco Kanan kerajaan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sementara itu Aminuddin berkata kerajaan negeri melantik semua penjawat awam di negeri ini sebagai 'duta' untuk membantu mempromosikan negeri itu sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Beliau berkata sektor pelancongan merupakan sumber ekonomi mampan dan lestari bagi negeri dan telah menunjukkan kehadiran pelancong membanggakan, dengan peningkatan 30 peratus, iaitu sebanyak 15 juta orang pada 2023 berbanding 11.5 juta orang pada tahun sebelumnya. 

"Untuk tahun ini, kita sasarkan kedatangan pelancong 20 juta berbanding 17 juta pada 2024. Kerajaan negeri menetapkan segmen pelancongan melalui pecahan 60 peratus pelancongan pantai, ekopelancongan (30 peratus) dan pelancongan adat, warisan serta budaya (10 peratus)," katanya.

Aminuddin berkata Negeri Sembilan kaya dengan kawasan tarikan pelancongan terutamanya yang berteraskan alam semula jadi seperti pantai dan Taman Eko Rimba selain turut dikenali dengan keunikan Adat Perpatih.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan