SHAH ALAM, 7 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan dan empat lelaki termasuk dua warga Myammar, kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran di kedudukan 2.55 batu nautika barat Sungai Janggut, Klang, dekat sini pagi tadi.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan kesemua individu termasuk seorang tekong warga tempatan pada 3.25 pagi itu dilakukan ketika pihaknya sedang melaksanakan rondaan di perairan negeri itu.
“Semasa rondaan, APMM telah mengesan vesel berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan kurang lapan batu nautika dari daratan.
“Pemeriksaan awal mendapati, vesel itu dikendalikan seorang tekong tempatan berumur 41 tahun dan tiga awak-awak, iaitu seorang warga tempatan 38 tahun manakala dua lagi lelaki Myanmar, masing-masing 45 dan 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Muhaimin berkata pemeriksaan lanjut mendapati dua kru warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas bot tersebut.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 150 kilogram sebelum diiring ke jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Katanya kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menunda atau melakukan aktiviti penangkapan ikan di bawah lapan batu nautika dan pemilik tidak mengusahakan sendiri dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran.
“Kes itu juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Muhaimin berkata pihaknya menerima banyak aduan khususnya daripada nelayan tradisional berkenaan kegiatan ‘tarik tepi’ dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana perlanggaran syarat sah lesen yang dibenarkan.
Aktiviti ‘tarik tepi’ adalah aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat yang ditarik oleh bot nelayan di kawasan perairan yang dangkal dan dekat dengan pantai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial