PASIR PUTEH, 7 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas 21 juta batang rokok putih bernilai RM1.7 juta dengan anggaran cukai RM13.8 juta dalam cubaan penyeludupan oleh sebuah vesel nelayan semasa operasi Sabtu lepas.
Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata tangkapan dilakukan oleh sebuah bot peronda APMM yang menjalankan rondaan di perairan Malaysia–Thailand, kira-kira 17 batu nautika dari Pengkalan Kubor, Tumpat pada 1.30 tengah hari.
"Ketika dikesan, vesel berkenaan didapati bergerak dalam keadaan mencurigakan selain tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran.
"Menyedari kehadiran bot penguat kuasa, mereka bertindak melarikan diri menuju ke perairan Thailand, namun anggota melaksanakan force boarding dan berjaya menghentikan vesel terbabit sebelum menahannya kira-kira 15 minit kemudian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa tujuh kru warganegara Thailand berumur antara 21 hingga 47 tahun dengan lima daripadanya memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan manakala dua lagi kru tidak memiliki dokumen sah.
Erwan Shah berkata saringan air kencing mendapati empat daripada tujuh kru berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati vesel terbabit diubah suai menjadi bot kargo yang membawa 2,105 peti berisi rokok putih tidak bercukai disyaki untuk diseludup masuk ke Malaysia.
"Vesel bersama muatan rokok serta kru kemudiannya ditahan dan diiringi ke jeti APMM untuk siasatan lanjut dan nilai keseluruhan tangkapan termasuk vesel dianggarkan bernilai kira-kira RM16.5 juta.
"Tangkapan ini ialah yang terbesar dalam tempoh lima tahun dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/6, Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 manakala empat kru yang positif dadah disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Beliau berkata APMM percaya vesel berkenaan membekalkan rokok seludup itu melalui bot pancung yang mendapatkan stok di lokasi vesel terbabit ditahan untuk pasaran ke bahagian utara negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial