WILAYAH - SARAWAK > BERITA

2025 Mungkin Edisi Terakhir Pesta Pulau Pinang Di Tapak Pesta Sungai Nibong

07/01/2025 11:55 PM

GEORGE TOWN, 7 Jan (Bernama) -- Pesta Pulau Pinang ke-58 berkemungkinan menjadi yang terakhir dianjurkan di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini sebelum acara itu berpindah ke lokasi lain pada penganjuran edisi akan datang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia berikutan sebahagian daripada kawasan itu terlibat dengan projek pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Pulau Pinang.

“Tahun 2025 berkemungkinan menyaksikan penganjuran edisi terakhir Pesta Pulau Pinang di tapak yang bersejarah ini memandangkan sebahagian kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong terlibat dengan projek pembangunan LRT Laluan Mutiara. 

“Oleh itu, kita harus melihatnya sebagai satu langkah ke hadapan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang lebih maju dan efisien.  Sebagai keluarga Pulau Pinang, semangat dan tujuan pesta itu tidak akan pernah pudar walaupun lokasi penganjuran tidak lagi sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2024/2025 di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini malam ini.

Perasmian berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Long.

Chow berkata Pesta Pulau Pinang bukan sekadar lokasi sebaliknya ia adalah tentang keterbukaan masyarakat negeri ini sebagai komuniti yang sentiasa meraikan nilai kekeluargaan, budaya, perpaduan serta inovasi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4.5 juta bagi penganjuran Pesta Pulau Pinang 2024/2025 yang merangkumi kos operasi, penyelenggaraan dan pembaikan dari segi infrastruktur serta penambahbaikan.

Bertemakan ‘Nostalgia Pesta’ dengan tagline ‘Dia Mai Dah!’, pesta yang berlangsung dari 21 Dis lepas hingga 2 Feb itu menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung.

Setakat 4 Jan lepas, lebih 150,000 pengunjung telah direkodkan mengunjungi Pesta Pulau Pinang, dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM745,840. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan