WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penemuan Objek Disyaki Bom: Polis Masih Jalankan Siasatan

08/01/2025 02:23 PM

SEMPORNA, 8 Jan (Bernama) -- Polis masih menjalankan siasatan berhubung penemuan objek disyaki bom di perairan Substesen Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Sabri Zainol berkata Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia masih dalam tindakan pengesahan. 

"Setakat ini objek itu masih disyaki, dalam tindakan pengesahan Unit Pemusanah Bom dan rujukan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Taman-Taman Sabah memaklumkan penutupan sementara Substesen Pulau Sibuan susulan penemuan objek disyaki bom Perang Dunia Kedua.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu pihak berkuasa bertindak pantas dalam menangani perkara berkenaan bagi keselamatan semua pihak. 

"Selain itu, saya meminta Taman-Taman Sabah dan agensi lain yang terlibat untuk memberikan garis masa yang jelas dan telus kepada orang awam mengenai bila pulau berkenaan boleh dibuka semula. Langkah ini akan memberikan keyakinan kepada pelancong dan pihak perniagaan.

"Pulau Sibuan menjadi destinasi terkenal untuk pelancong dan penyelam, dan ketika negara bersiap sedia bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, kita tidak mampu kehilangan pengunjung akibat penutupan yang berpanjangan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan