Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 8 Jan (Bernama) -- Puteri Thailand Maha Chakri Sirindhorn dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) sebagai pengiktirafan atas sumbangan cemerlangnya di Thailand dan peringkat antarabangsa.
Majlis penganugerahan itu, yang disampaikan oleh Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam selaku Canselor NUS, diadakan di Istana pada Rabu, menurut NUS dalam satu kenyataan.
Ijazah Kehormat itu merupakan bentuk penghormatan tertinggi universiti itu untuk individu yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang dan memberi impak besar, sama ada di peringkat tempatan mahupun global.
Presiden NUS Profesor Tan Eng Chye berkata universiti tersebut berbesar hati untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat itu kepada puteri berkenaan, yang merupakan seorang akademik yang berwibawa, seorang poliglot, pendidik dan seorang kerabat diraja yang prihatin terhadap rakyat Thailand serta rakan akrab Singapura.
"Baginda memberikan sokongan yang besar kepada inisiatif yang bertujuan untuk memperkasakan, menginspirasi dan meningkatkan taraf kehidupan golongan muda melalui pendidikan serta menyokong banyak tujuan bermakna lain termasuk pembangunan pertanian, pemuliharaan budaya, bantuan bencana dan hak terhadap makanan.
"Kami amat terinspirasi oleh bakat luar biasa baginda, dedikasinya yang tidak berbelah bahagi untuk membantu komuniti yang kurang bernasib baik serta komitmennya untuk mencipta impak yang bermakna," katanya.
Puteri Sirindhorn dihormati atas peranannya dalam memajukan pendidikan, pemuliharaan budaya dan usaha kemanusiaan di Thailand dan di peringkat antarabangsa.
Baginda merupakan penaung kepada beberapa yayasan yang bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat Thailand, termasuk Yayasan Puteri Maha Chakri Sirindhorn dan Yayasan Chaipattana. Baginda juga merupakan Naib Presiden Eksekutif Persatuan Palang Merah Thailand.
Puteri itu juga terlibat secara peribadi dalam usaha Singapura untuk mempromosikan penyelidikan dan pembangunan dalam sains dan teknologi serta pendidikan khas.
Baginda secara konsisten menyokong Sidang Kemuncak Saintis Muda Global (GYSS), termasuk mencalonkan saintis muda dari Thailand untuk menyertai acara itu dan kerap menyertai GYSS, yang kebanyakannya diadakan di NUS.
Penerima terdahulu Ijazah Doktor Kehormat Persuratan NUS termasuk bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-Moon (2016) dan bekas Presiden Singapura S R Nathan (2012).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial