ALOR SETAR, 9 Jan (Bernama) -- Kedah disaran mendaftarkan produk yang mempunyai keunikan tersendiri di negeri itu sebagai harta intelek di bawah kategori petunjuk geografi (GI).
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata setakat ini hanya dua produk di Kedah telah didaftarkan di bawah kategori GI iaitu kunyit putih dan anggur Tasik Beris.
“Sebenarnya di Kedah banyak produk, makanan dan kraf tangan yang boleh didaftarkan di bawah GI kerana mempunyai keunikan tersendiri yang tidak ada di negeri lain. Contohnya beras wangi, susu kerbau, pulut hitam serta gamat dan garam bukit di Langkawi.
“Apabila didaftarkan, ia dapat dilindungi daripada 'dirampas' oleh pihak tertentu atau negeri-negeri lain. GI ini tidak boleh didaftarkan di bawah individu, sebaliknya perlu didaftarkan sama ada di bawah agensi, komuniti, persatuan atau lebih baiknya di bawah kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata apabila produk berkenaan didaftarkan di bawah GI, potensi dan kekuatan yang ada akan lebih bernilai tinggi sekali gus dapat menjadi sumber kekayaan baharu buat Kedah dan usahawan terlibat.
“Macam beras wangi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), ramai yang tidak tahu mengenainya tetapi apabila didaftarkan dengan MyIPO, nilai harga produk itu boleh meningkat apabila mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.
“Sarawak dan Sabah, masing-masing sudah mempunyai lebih 30 produk yang telah didaftarkan di bawah GI. Jadi, saya berharap kerajaan Kedah dapat berkolaborasi dengan MyIPO untuk mendaftarkan lebih banyak produk,” katanya.
Terdahulu, Mohd Zuhan merasmikan pembukaan Pejabat Satelit Alor Setar di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di sini sebagai langkah untuk memperluas akses perkhidmatan MyIPO kepada masyarakat dan usahawan di Wilayah Utara khususnya di negeri ini.
Beliau berkata pejabat terbabit merupakan yang ketiga dibuka selepas Terengganu dan Perak manakala tiga pejabat lagi dijangka dibuka di Kelantan, Sabah dan Sarawak pada Februari dan Mac depan.
“Dalam tempoh lima tahun terakhir, MyIPO telah menerima 2,975 permohonan harta intelek di Kedah, jadi dengan pembukaan pejabat ini, kita jangka jumlah yang mendaftar dengan MyIPO untuk melindungi hak harta intelek akan meningkat lebih 60 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial