WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jangan Politikkan Kewujudan Dokumen Tambahan, Serah Kepada Mahkamah - Shamsul Iskandar

09/01/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Semua pihak harus berhenti mempolitikkan isu tentang kewujudan satu dokumen tambahan berkenaan perintah yang membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata hal ini kerana terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba ‘menunggang’ isu tersebut, dengan melontarkan pelbagai tuduhan jahat terhadap kerajaan terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara berkaitan dokumen tambahan itu sebaiknya diserahkan kepada Mahkamah Tinggi bagi menilai pandangan daripada pihak kerajaan dan Najib, untuk memutuskan tindakan selanjutnya.

“...kes ini baru di peringkat awal dan biarlah proses keadilan melalui mahkamah itu berjalan. Saya tampil ke depan untuk menjelaskan kerana wacananya sudah menjadi lain, ia bukan lagi jadi titah tambahan wujud atau tidak dan sebagainya.

“Tetapi (ada pihak) sudah meminta Perdana Menteri (Anwar) letak jawatanlah, minta digantung (tugas), hukuman matilah, apa benda perbincangan seperti ini. Tidak ada tertib dan adab,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Temu Bual Eksklusif siaran Bernama Radio, di sini hari ini.

Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen berkenaan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya, Shamsul Iskandar yakin segala keputusan dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu tidak mempunyai sebarang campur tangan daripada pihak kerajaan pimpinan Anwar.

“Beliau (Anwar) ambil sikap terbuka (dalam konteks perbicaraan Najib itu), selagi mana ia berlandaskan perlembagaan dan undang-undang... silakan, maksudnya gunalah jalur undang-undang ini untuk mendapatkan keadilan,” katanya.

Pada Isnin, Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya.

Bagaimanapun Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel itu membantah dan memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan bekas perdana menteri itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan