WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek Infrastruktur Utama Akan Pacu Permintaan Keluli Malaysia - Kenanga IB

10/01/2025 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Permintaan Malaysia terhadap logam ferus serta produk bernilai tambahnya akan dipacu oleh pelaksanaan projek infrastruktur utama tempatan, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Bank pelaburan itu menjelaskan permintaan terhadap keluli dijangka meningkat seiring dengan pelaksanaan projek infrastruktur awam mega seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang, Transit Rapid Autonomi (ART) Kuching, Sarawak dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

“Perkara positifnya adalah kestabilan harga keluli akan mendorong harga produk keluli yang stabil, mengurangkan ketidaktentuan pendapatan bagi pengeluar produk keluli seperti Engtex Group Bhd (Engtex) dan United U-Li Corp Bhd,” tambahnya menerusi nota penyelidikan pada Jumaat.

Kenanga IB juga menjangkakan permintaan keluli di China berkembang sederhana pada 2025 selepas empat tahun mengalami keadaan mendatar, didorong oleh pasaran hartanah yang stabil, rangsangan tambahan untuk menyokong sektor lain, serta sentimen pengguna yang semakin baik.

“Pembuat keluli mungkin menghadapi tekanan pada 2025 dan seterusnya akibat peningkatan siasatan antilambakan dengan impak yang lebih ketara dijangka pada 2026.

“Keuntungan rendah yang dialami industri ini telah menyebabkan pengurangan pengeluaran dan membuka laluan untuk penggabungan memandangkan banyak pembuat keluli menghadapi risiko muflis. Jika had kapasiti dikuatkuasakan, kadar penggunaan boleh meningkat, berpotensi meningkatkan harga keluli China pada 2025,” tambahnya.

Bank pelaburan itu turut mengunjurkan purata harga aluminium yang lebih tinggi iaitu US$2,450 setiap tan (US$1= RM4.50) pada 2025 berbanding US$2,420 setiap tan pada 2024.

“Harga aluminium telah mengalami turun naik antara US$2,400 hingga US$2,600 setiap tan sepanjang dua bulan lepas, walaupun jangkaan harga yang kukuh disokong oleh penggunaan di China yang tinggi pada awal tahun lepas.

“Penggunaan yang tinggi di China pada beberapa bulan awal tahun lepas memberikan rangsangan pada mulanya, selain permintaan di luar China yang disokong oleh pengembangan projek tenaga boleh baharu dan peningkatan pengeluaran kenderaan elektrik (EV),” tambahnya.

Oleh itu, Kenanga IB mengekalkan saranan "overweight" bagi sektor bahan binaan, dengan pilihan utama ialah Press Metal Aluminium Holdings Bhd (PMetal) dan Engtex.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan