WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penggunaan Sistem Kod QR Akan Diperluas Kepada Pengembara ASEAN

11/01/2025 11:47 AM

SEPANG, 11 Jan (Bernama) -- Penggunaan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyBorderPass akan diperluas kepada pengembara ASEAN bagi proses keluar dari Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menjadi tanggungjawab Jabatan Imigresen untuk memastikan proses keluar masuk di pintu-pintu masuk utama negara adalah lancar.

"Tahun ini Malaysia ialah Pengerusi ASEAN, tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Jabatan Imigresen, yang diarah oleh Perdana Menteri untuk pastikan semua pintu masuk utama lancar.

“Bagi tahun ini kita akan menjadi tuan rumah hampir 400 mesyuarat pada peringkat pegawai, pegawai kanan, peringkat menteri dan juga ketua-ketua negara yang dikendali Wisma Putra dan KDN.

"Untuk proses masuk, mereka guna sistem yang biasa, tetapi proses keluar, kita benarkan mereka gunakan laluan untuk kod QR," katanya kepada media selepas menghadiri sesi tinjauan Gate Kod QR MyBorderPass dan Sistem Smart Q Bersama Media di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini penggunaan sistem kod QR hanya boleh digunakan rakyat Malaysia bagi urusan keluar masuk negara di KLIA Terminal 1 dan 2.

Setakat ini, sebanyak 40 unit autogate kod QR dipasang membabitkan 20 unit di KLIA Terminal 1 dan 20 di KLIA Terminal 2 untuk ketibaan dan pelepasan dengan kos keseluruhan pemasangan ialah RM19.2 juta.

“Hingga kini, 400,000 rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi MyBorderPass bagi memudahkan penggunaan sistem pelepasan kod QR itu.

"Pengguna hanya perlu log masuk, dan sistem ini membolehkan pelepasan dilakukan dalam masa 60 saat (secara purata empat saat)," katanya dan menambah pasport masih perlu dibawa bersama, namun tiada proses cap secara fizikal akan dibuat kerana maklumat disimpan secara elektronik.

Beliau berkata jumlah penggunaan keseluruhan yang direkodkan setakat ini ialah 55,000 pengguna dalam tempoh 11 hari sejak dilancarkan 1 Januari lepas.

Saifuddin Nasution berkata sistem kod QR itu dirancang diperluas ke lapangan terbang antarabangsa utama yang lain, seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, dan Langkawi.

Berkongsi pengalamannya menggunakan sistem kod QR itu, Saifuddin Nasution berkata tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa sepantas empat saat berbanding 15 hinga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional. 

Beliau mengguna pakai sistem kod QR itu sebelum berlepas ke Abu Dhabi pagi ini, bagi menyertai lawatan rasmi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan