WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Setiausaha Politik Azalina, Zaliha Buat Laporan Polis Terhadap Khairy

11/01/2025 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Dua laporan polis telah dibuat terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin atas kenyataannya berhubung isu dokumen mengenai satu perintah yang membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Laporan berkenaan dibuat oleh Datuk Suraya Yaacob, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Nor Azrina Surip, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Laporan dibuat secara berasingan masing-masing di Putrajaya, dan Sentul di sini semalam.

Menerusi salinan laporan polis berkenaan, Suraya dan Nor Azrina memaklumkan bahawa kenyataan dikeluarkan Khairy yang mengaitkan dua menteri berkenaan adalah tidak benar, memburukkan menteri, mengelirukan dan menimbulkan perasaan tidak senang serta suasana panik dalam kalangan rakyat sehingga berkemungkinan boleh menggugat keamanan negara.

Suraya memaklumkan menerusi artikel dalam Malaysiakini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan berkenaan.

“Penggunaan perkataan complicit adalah keterlaluan kerana ia membawa maksud terlibat atau dikaitkan dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang atau tidak beretika. Ia juga membayangkan secara sedar telah membantu, menyokong atau membenarkan perbuatan menyalahi undang-undang terbabit berlaku,” katanya.

Suraya berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya semalam mengesahkan Azalina bukan ahli mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.

Beliau berkata dokumen berkenaan merupakan khabar angin kerana pembuat dokumen tidak membuat sebarang kenyataan hinggalah pada 4 Jan lepas setelah Istana Pahang mengeluarkan surat pengesahan.

Sementara itu, Nor Azrina berkata kenyataan fitnah Khairy itu diperoleh menerusi video berdurasi 3 minit 14 saat yang diterima melelaui kumpulan WhatsApp, dengan mendakwa Dr Zaliha sepatutnya tahu akan adanya dokumen berkenaan.

“Dr Zaliha telah mengeluarkan kenyataan pada semalam memaklumkan bahawa beliau tidak pernah melihat dokumen yang disebutkan itu,” katanya.

Kedua-dua mereka memohon supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh terhadap Khairy kerana berniat jahat memfitnah, menghina nama baik dan reputasi menteri serta menyebarkan maklumat palsu.

BHEUU dalam kenyataan semalam juga mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan berkaitan permohonan pengampunan Najib dalam fail atau rekod rasminya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan