BUKIT MERTAJAM, 11 Jan (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan lebih RM20 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara pada tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM19.84 juta adalah untuk 62 sekolah persendirian Cina di seluruh negara manakala RM1 juta bagi Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin di sini.
Perdana Menteri berkata peruntukan ini sebagai tanda pihak kerajaan menghargai khidmat sekolah-sekolah persendirian Cina di negara ini.
"Kita menghargai kesetiaan mereka dalam menyesuaikan kurikulum dengan menghormati bahasa kebangsaan dan mengangkat martabat rakyat secara keseluruhan," kata beliau dalam ucapan ketika melawat Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin di sini hari ini.
Tahun lepas, kerajaan yang diwakili Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan peruntukan RM18.9 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina dengan setiap sekolah menerima RM300,000.
Ketika lawatannya, Anwar turut mengimbau nostalgia semasa beliau menjadi guru sandaran Bahasa Melayu di sekolah berkenaan sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
Anwar berkata ketika beliau mengajar selama setahun di sekolah terbabit, bahasa Cina dianggap bahasa suku kaum itu sahaja, namun ia kini muncul sebagai bahasa ekonomi yang penting dengan kemaraan negara China sebagai kuasa ekonomi besar dunia.
Beliau berkata jika rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa Cina dengan baik, ia akan memberi keuntungan kepada negara.
"Saya mengajar di sini setahun, namun tidak ada yang paksa saya untuk meninggalkan minat saya menguasai bahasa dan budaya Melayu, tidak ada usaha untuk mengeluarkan saya daripada agama.
"Walaupun saya tidak bersetuju sepenuhnya dengan budaya barat, kita harus terima kepelbagaian bahasa lain apatah lagi bahasa yang boleh membantu kita pada peringkat antarabangsa, seperti bahasa Inggeris," kata beliau.
Menurut Anwar, di samping memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kerajaan turut memberikan penekanan kepada penguasaan bahasa Cina dan Inggeris yang dianggap bahasa ekonomi dunia.
Beliau berkata langkah ini perlu bagi mengangkat martabat Malaysia sebagai kawasan ekonomi yang penting.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial