WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM: Reman Terhadap Pengurus Akaun Badan Berkanun Di Perlis Disambung

11/01/2025 09:15 PM

KANGAR, 11 Jan (Bernama) -- Reman terhadap seorang pengurus akaun sebuah badan berkanun di Perlis yang berakhir hari ini, disambung tiga hari bermula esok bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng wang kira-kira RM600,000 untuk kegunaan peribadi.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perintah sambung reman terhadap wanita berumur lingkungan 30-an itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar Nurshahida Abdul Rahim.

"Seorang lagi petugas wanita badan berkanun itu berumur lingkungan 40-an yang ditahan bersama pada Selasa lepas (7 Jan) dan direman hingga hari ini, dilepaskan dengan jaminan SPRM," kata sumber berkenaan hari ini.

Rabu lepas, media melaporkan SPRM menahan dua petugas sebuah badan berkanun di Perlis termasuk seorang pengurus akaun selepas mereka disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng wang kira-kira RM600,000 untuk kegunaan peribadi.

Laporan media itu menyebut siasatan awal mendapati kedua-dua wanita itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara 2020 hingga 2024 dan SPRM Perlis turut menyita dan merampas barangan mewah termasuk barang kemas berjumlah kira-kira RM100,000 yang disyaki diperoleh hasil perbuatan terbabit.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan sambungan reman itu dan memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan