WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lelaki China Cuba Curi Kad Kredit Dalam Pesawat Ditahan

11/01/2025 09:43 PM

GEORGE TOWN, 11 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga China kerana cuba mencuri kad kredit milik seorang penumpang wanita warga Australia ketika dalam penerbangan pesawat komersial dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Sazalee Adam berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada wanita berusia 44 tahun yang dalam perjalanan bercuti ke negeri ini.

"Ekoran laporan itu, polis menahan lelaki warga China berusia 54 tahun tersebut dan dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau bagi permohonan reman esok," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 dan 511 Kanun Keseksaan. Polis juga percaya suspek adalah anggota sindiket yang terlibat dalam beberapa kes kecurian dalam pesawat komersial, yang membabitkan penangkapan tiga warga China pada November dan Disember tahun lepas," tambahnya.

Sazalee berkata ketiga-tiga suspek yang ditangkap pada tahun lalu itu berasal dari Hunan, China dan berusia antara 51 hingga 61 tahun dan telah didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau.

Beliau turut menasihati penumpang pesawat komersial agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan awal seperti menyimpan beg yang mengandungi wang tunai atau barangan berharga di tempat duduk yang paling hampir dengan mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan