Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, sejajar dengan penurunan di Wall Street berikutan pasaran menjangka kelembapan dalam kitaran penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.71 mata kepada 1,596.70 daripada 1,602.41 pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka rendah 3.45 mata kepada 1,598.96.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 293 berbanding 75, dengan 275 kaunter tidak berubah, 1,726 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 195.46 juta saham bernilai RM76.91 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah pada Jumaat lepas berikutan data pekerjaan AS yang positif mewujudkan kebimbangan mengenai inflasi, mengukuhkan jangkaan bahawa Fed akan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap penurunan kadar faedah pada tahun ini.
Thong berkata pelabur kekal berhati-hati mengenai pemulihan China, didorong oleh penggunaan yang lembap dan ketegangan perdagangan AS-China yang meningkat.
“Dalam negara, unjuran kami kekal berhati-hati berikutan faktor luaran terus mempengaruhi sentimen pelabur.
“Bagaimanapun, penilaian yang rendah dijangka menarik pembeli semasa penurunan harga, justeru, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan berada dalam julat 1,600 hingga 1,610 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH, masing-masing naik dua sen kepada RM10.12 dan RM7.08 manakala CIMB merosot empat sen kepada RM8.14, Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.43 dan Tenaga susut enam sen kepada RM14.04.
Dalam saham aktif, Key Alliance berkurangan setengah sen kepada 0.5 sen, Velocity Capital, Ekovest, Widad dan Xidelang, masing-masing kekal mendatar pada 8.5 sen, 35 sen, 4.5 sen dan 1.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 39.77 mata kepada 12,263.00, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 41.06 mata kepada 12,209.68 dan Indeks FBMT 100 susut 38.97 mata kepada 11,944.87.
Indeks FBM 70 merosot 46.22 mata kepada 18,421.31 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 27.75 mata kepada 5,325.72.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga menambah 8.19 mata kepada 841.49, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 38.10 mata kepada 18,886.44, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.67 mata kepada 169.99 dan Indeks Perladangan berkurangan 7.95 mata kepada 7,502.67.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial