WILAYAH - TENGAH > BERITA

Keputusan Positif Perlu Selari Dengan Dana Tambahan - Penganalisis

13/01/2025 04:56 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memastikan gandaan dana daripada RM15 juta kepada RM30 juta yang diumumkan oleh kerajaan khusus untuk pembangunan skuad kebangsaan  disertai dengan keputusan yang cukup positif, menurut penganalisis sukan tempatan Mohd Sadek Mustafa.

Beliau berkata suntikan dana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, membuka jalan untuk badan induk sukan itu merealisasikan hasrat skuad kebangsaan menjadi gergasi bola sepak yang digeruni di rantau Asia Tenggara.

“Peruntukan tambahan ini memenuhi keperluan bagi persiapan Piala Asia 2027. Ia memerlukan perbelanjaan besar untuk membayar gaji dalam kalangan skuad kebangsaan.

“Jumlah RM15 juta sebelum ini tidak mencukupi kerana perlawanan pemanas badan untuk skuad Garimau Malaya dalam tempoh beberapa bulan ini memerlukan perbelanjaan besar dan boleh dikatakan hanya ‘cukup-cukup’ makan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Sadek berkata FAM sangat bernasib baik menerima suntikan dana tersebut, justeru badan induk sukan itu perlu bijak berbelanja termasuk tidak mengabaikan pembangunan skuad kebangsaan yang berkemungkinan diwarnai oleh lebih ramai pemain warisan pada masa hadapan.

“Dana tersebut juga dilihat akan digunakan untuk membayar khidmat pemain warisan...jadi, kalau boleh jangan lupakan pemain tempatan dan kena berlaku adil,” katanya.

Sementara itu, penganalisis sukan Ahmad Faisal Mohamed Fiah berharap prestasi pasukan bola sepak kebangsaan seiring dengan dana baharu yang diterima oleh FAM.

“Dana itu perlu disertai dengan komitmen tinggi oleh FAM untuk memastikan ia memberi pulangan yang diharapkan buat skuad Harimau Malaya.

“Biarlah berbaloi dengan dana yang diterima itu. Sekurang-kurangnya, naikkan ranking skuad yang kini di kedudukan ke-132 dunia kepada bawah 115 dunia dalam jangka masa pendek,” katanya.

Terdahulu, FAM berjanji untuk memanfaatkan tambahan peruntukan yang diumumkan bagi meningkatkan program-program pembangunan pasukan kebangsaan di setiap peringkat.

Presidennya Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata usaha tersebut termasuk mempersiapkan pasukan utama - skuad Harimau Malaya - agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan