KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Tempoh reman empat individu termasuk pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan yang ditahan pada Jumaat lepas disambung tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya telah mendapatkan perintah lanjut reman keempat-empat suspek sehingga Rabu ini.
“Kesemua suspek termasuk isteri, anak dan adik ipar pegawai pengurusan tertinggi berkenaan berusia antara 20-an hingga 60-an itu disiasat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
“Siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan aliran transaksi wang mencurigakan dipercayai diseleweng suspek,” katanya ketika dihubungi.
Jumaat lepas, Razarudin mengesahkan penahanan lima individu termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi berkenaan menerusi Op Ragada kerana disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
Razarudin berkata mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita ditahan di beberapa lokasi termasuk di Pulau Pinang dan Sarawak, dengan nilai rampasan aset keseluruhan berjumlah lebih RM17 juta.
Bagaimanapun, seorang daripada mereka iaitu anak kepada pegawai terbabit dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lepas.
Beliau berkata modus operandi dilakukan ialah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial