WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Semua Pihak Dinasihati Hormati Prosiding Mahkamah Kes Semakan Najib- AGC

13/01/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menasihati semua pihak supaya menghormati prosiding mahkamah berkaitan kes permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini.

Najib, 71, dalam permohonan semakannya memohon perintah mandamus supaya responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan dokumen tambahan yang bertarikh 29 Jan tahun lepas yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan semasa pengurusan kes tersebut, Mahkamah Tinggi telah memberikan arahan berkaitan pemfailan afidavit bagi permohonan substantif semakan kehakiman itu.

“Selain itu, Mahkamah Tinggi juga telah memberikan arahan kepada responden-responden berkaitan pemfailan notis permohonan bagi perintah perlindungan dan perintah sekatan.

“Di samping itu, Mahkamah Tinggi juga telah memberikan arahan kepada pihak pemantau kes (watching brief) untuk memfailkan notis permohonan untuk hadir mendengar kes ini berserta arahan pemfailan afidavit yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes pertama di Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib dan kes ini diremitkan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.

“Mahkamah Tinggi telah menetapkan pengurusan kes seterusnya secara dalam talian (e-Review) pada 11 Mac 2025. Dalam hal ini, semua pihak adalah dipohon untuk menghormati prosiding mahkamah tersebut,” menurut kenyataan itu.

Dalam permohonan semakan itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

 Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Zulkifli Noordin memohon untuk menjadi peguam pemerhati bagi kes tersebut untuk mewakili Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan