WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Murata Lancar Inisiatif Penghantaran Rentas Sempadan Guna Sistem "Milk Run"

15/01/2025 06:37 PM

IPOH, 15 Jan (Bernama) -- Syarikat elektronik multinasional, Murata Electronics (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan inisiatif  trak penghantaran rentas sempadan menggunakan sistem "milk run" di Ipoh Cargo Terminal Sdn Bhd (ICT).

Pengarah Urusan Murata Electronics (Malaysia) Yukio Kishigami berkata inisiatif sistem "milk run" itu melibatkan penghantaran antara syarikat Murata di Thailand ke Ipoh dan Singapura.

"Penghantaran rentas sempadan ini melibatkan perjalanan sehala dari Thailand, Malaysia dan Singapura. Kami bekerjasama dengan kumpulan Murata untuk menjadikannya sebagai perjalanan pergi dan balik dari Thailand ke Singapura dengan menggunakan konsep "milk-run".

"Jika ia berjalan lancar seperti perancangan, kami akan mempertimbangkan untuk meluaskan sistem ini ke Vietnam. Penghantaran rentas sempadan ini merupakan pencapaian penting bukan hanya kepada Murata tetapi juga Jabatan Kastam dan pihak ICT.

"Kami juga berharap ia dapat mempromosikan Ipoh sebagai hab logistik," katanya ketika berucap sempena pelancaran penghantaran trak rentas sempadan menghubungkan Thailand, Malaysia dan Singapura, di sini hari ini. 

Turut hadir Pengarah Jabatan Kastam Perak Datuk Abdul Ghafar Mohamad dan Pengurus Pembangunan Perniagaan ICT Sdn Bhd Rosnawati Ramli.

Ditubuhkan pada 1994, Murata mengeksport 90 peratus barangan elektronik siapnya ke seluruh dunia. Pada 2019, ia merupakan syarikat pertama di Perak yang memperoleh status Authorised Economic Operator (AEO).

Dalam pada itu, Kishigami berkata cadangan inisiatif penghantaran trak rentas sempadan berkonsepkan "milk run" itu dibentangkan pada 2023, dan usaha kerjasama yang melibatkan Jabatan Kastam, ICT serta pelbagai pihak berkepentingan sejak Januari tahun lepas telah merealisasikan inisiatif itu. 

Rosnawati berkata Murata Electronics (Malaysia) telah memainkan peranan yang signifikan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serantau dan juga menyediakan penyelesaian inovatif untuk pasaran dunia.

Melalui inisiatif itu, ICT akan terus berusaha mempertingkatkan kecekapan pengendalian dan kemudahan fasilitasi dalam memastikan produk Murata sampai ke pelanggan dengan lebih cepat serta efisien tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan undang-undang.

"Pemilihan ICT sebagai hab pergerakan rentas sempadan ini merupakan satu pilihan yang tepat sejajar dengan peranan ICT sebagai pintu keluar dan masuk bagi aktiviti import serta eksport ke seluruh dunia dengan proses pengikraran dan deklarasi borang kastam boleh dijalankan di sini," kata Rosnawati.

Abdul Ghafar pada sidang media pula berkata inisiatif penghantaran dagangan menggunakan trak rentas sempadan itu bakal memudahkan pergerakan barangan oleh Murata merentasi sempadan, dan mereka akan diberikan pengecualian cukai sekiranya barang berkenaan bertujuan untuk eksport sahaja.

"Disebabkan Murata ini melibatkan tiga negara, jadi ia (inisiatif berkenaan) memudahkan logistik mereka. Jika ia (Murata) masuk melalui Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar, ia perlu melalui pemeriksaan dan bayar cukai, jadi ini menyusahkan syarikat.

"Syarikat memerlukan deklarasi borang kastam, datang ke ICT tanpa perlu membayar cukai. Barang itu kita kawal, kita kunci kontena supaya ia tidak boleh dibuka di mana-mana kecuali di gudang ICT," katanya.

-- BERNAMA

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan