WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Negara Arab Mengalu-alukan Perjanjian Gencatan Senjata Gaza

16/01/2025 08:23 AM

ISTANBUL, 16 Jan (Bernama-AA) -- Negara Arab mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata di Gaza antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas, yang dicapai selepas lebih setahun rundingan intensif dengan pengantara dari Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu (AA).

“Saya mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata di Gaza selepas lebih setahun usaha gigih yang diperantarai Mesir, Qatar dan AS,” kata Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi menerusi Facebook.

Beliau menegaskan keperluan mendesak untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Perjanjian ini menyerlahkan kepentingan menyediakan bantuan kritikal dengan segera kepada penduduk Gaza untuk menangani bencana kemanusiaan yang berterusan tanpa sebarang halangan, sehingga keamanan yang mampan dapat dicapai melalui penyelesaian dua negara,” katanya.

Sisi mengulangi komitmen Mesir untuk menyokong keamanan yang adil, kekal sebagai rakan kongsi yang teguh untuk mencapainya dan mempertahankan hak sah rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Jordan menghargai usaha Mesir, Qatar dan AS dalam mencapai perjanjian itu, sambil menegaskan “keperluan untuk mematuhi sepenuhnya.”

Kenyataan itu memetik Menteri Luar Ayman Safadi yang menekankan “keperluan untuk melancarkan inisiatif antarabangsa segera bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan yang mencukupi dan mampan untuk menangani bencana kemanusiaan yang disebabkan oleh pencerobohan Israel di Gaza.”

Ia turut menekankan bahawa Jordan, “di bawah bimbingan dan pemantauan Raja Abdullah II, akan terus memberikan bantuan kemanusiaan kepada Gaza dan menyokong rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk mencapai hak sah sepenuhnya bagi mendapatkan keamanan yang adil.”

Perdana Menteri Sementara Lubnan Najib Mikati turut menyambut baik pengumuman oleh Qatar, Mesir dan AS mengenai perjanjian untuk mewujudkan gencatan senjata di Gaza.

“Pengumuman ini menutup satu babak berdarah dalam sejarah rakyat Palestin, yang telah menderita akibat pencerobohan Israel,” kata Mikati sambil berharap gencatan senjata itu “akan berkekalan dan Israel akan mematuhinya, membuka jalan kepada penyelesaian muktamad terhadap isu Palestin serta memberikan rakyat Palestin hak sah mereka.”

Arab Saudi turut menyambut baik pengumuman itu sambil menegaskan “keperluan mematuhi perjanjian, menghentikan pencerobohan Israel ke atas Gaza, penarikan sepenuhnya tentera pendudukan Israel dari Semenanjung Gaza dan semua wilayah Palestin serta Arab, serta memastikan kepulangan rakyat yang dipindahkan ke kawasan masing-masing.”

Kementerian Luar Arab Saudi juga menekankan “kepentingan menjadikan perjanjian itu sebagai asas untuk menangani punca utama konflik dengan memberikan hak rakyat Palestin, termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.”

Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani mengesahkan perjanjian gencatan senjata itu pada sidang media di Doha, yang akan bermula Ahad ini.

Beliau menggariskan fasa pertama, yang akan berlangsung selama 42 hari dan melibatkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan beberapa tahanan Palestin.

Pengumuman itu dibuat pada hari ke-467 genosid Israel terhadap Gaza, yang dengan sokongan AS telah menyebabkan lebih 156,000 korban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Perang itu telah menyebabkan lebih 11,000 orang hilang, dengan kemusnahan yang meluas serta krisis kemanusiaan yang meragut nyawa ramai warga emas dan kanak-kanak, menjadikannya antara bencana kemanusiaan terburuk di dunia pada masa kini.

-- BERNAMA-AA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan