WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perjanjian Gencatan Senjata: Hamas Puji Sokongan Malaysia Semasa Krisis Gaza

16/01/2025 11:55 AM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Ahli biro politik Hamas Khalil al-Hayya memuji “pendirian terhormat” Malaysia dalam menyokong Palestin semasa konflik yang berterusan, bersama negara lain, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bercakap pada sidang media, al-Hayya melahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia, Turkiye, Afrika Selatan, Algeria, Rusia, China dan Indonesia atas solidariti mereka terhadap rakyat Palestin, sambil mengiktiraf sumbangan mereka dalam memberikan sokongan penting ketika saat-saat sukar.

Kenyataan beliau dibuat susulan pengumuman perjanjian gencatan senjata yang diketuai Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat sebagai perantara, dijangka berkuat kuasa Ahad ini.

Al-Hayya mengalu-alukan perjanjian itu sebagai perkembangan positif tetapi mengkritik “keganasan dan pencerobohan sengit” yang dilakukan oleh pendudukan Israel, menyifatkannya sebagai antara krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden.

“Pada saat kritikal ini, kami menyampaikan kata-kata kebanggaan dan penghormatan kepada rakyat kami di Gaza,” katanya, sambil menambah bahawa rakyat Palestin “tidak akan melupakan mereka yang menyumbang kepada penderitaan mereka.”

Gencatan senjata yang diumumkan Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman akan berlangsung selama 42 hari bagi fasa pertama. Di bawah perjanjian itu 33 tahanan Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan jumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan, lapor AA.

Perjanjian itu yang difasilitasi oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat termasuk mekanisme untuk memastikan pematuhan dan menangani sebarang kemungkinan pelanggaran.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan