WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerjasama Malaysia, Singapura Kunci Pertumbuhan Ekonomi Johor Bahru

17/01/2025 02:28 PM

PETALING JAYA, 17 Jan (Bernama) -- Masa depan Johor Bahru sebagai hab ekonomi utama banyak bergantung kepada kejayaan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor selain kerjasama dengan republik Singapura.

Pengarah Eksekutif Knight Frank Malaysia Allan Sim berkata pemacu sebenar pertumbuhan bandar raya itu adalah pelarasan dasar antara kedua-dua negara berkenaan.

“Sama ada Johor Bahru mampu muncul sebagai sebuah bandar raya hebat akan bergantung kepada sejauh mana kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat bekerjasama dengan Singapura serta bagaimana ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara misalnya mengambil sedikit masa untuk mencapai persetujuan berkaitan rejim cukai, namun apabila sistem itu dapat berfungsi untuk kedua-duanya, Johor Bahru mampu bergerak pantas berbanding bandar-bandar lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan panel di acara persidangan hartanah tahunan Siri CEO : Forum Ekonomi dan Perniagaan 2025 anjuran badan pemikir, latihan dan penyelidikan hartanah Institut REHDA semalam.

Majlis Bandaraya Johor Bahru adalah antara enam pihak berkuasa tempatan yang dimasukkan dalam perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dimeterai pada 7 Jan, 2025 yang bertujuan melonjakkan perdagangan dan kesalinghubungan ekonomi.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri Johor mengumumkan pakej insentif untuk JS-SEZ yang berkuat kuasa pada 1 Jan, 2025 yang membolehkan pelabur layak mendapat pelbagai insentif, termasuk kadar cukai korporat khas, tumpuan pembangunan utama serta kadar cukai khas untuk pekerja berpengetahuan.

Selain itu pada sesi berasingan, Sim berkata sektor kediaman bertingkat di Johor Bahru menunjukkan peningkatan ketara, terutama dalam projek berhampiran dengan pusat bandar Johor Bahru.

"Projek Rapid Transit Link (RTS) yang akan menghubungkan Johor dan Singapura, turut meningkatkan kesalinghubungan dengan ketara dan memacu permintaan perumahan yang lebih kukuh di kawasan berkenaan," katanya.

Dalam perbincangan panel yang sama, Pengarah Urusan Colliers (Hong Kong) CK Lau berkata sektor kediaman di Hong Kong mencapai perkembangan yang ketara dalam menangani masalah kekurangan rumah hasil aktiviti pelebaran tanah yang meluas.  

"Harga sektor kediaman menurun kira-kira 30 peratus dalam dua dan tiga tahun kebelakangan ini disebabkan beberapa faktor seperti kadar faedah yang meningkat dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), yang menjejaskan tambatan dolar Hong Kong," katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata harga kembali stabil dalam beberapa bulan kebelakangan ini susulan langkah yang diambil oleh kerajaan, termasuk pengurangan beberapa cukai dan galakan daripada pelaburan asing.

Cabaran tetap wujud dalam sektor kediaman Hong Kong terutamanya dalam kalangan lepasan universiti yang masih muda dan baru berkerja untuk memiliki kediaman di kawasan bandar meskipun harga rumah semakin berpatutan, kata Lau.

Seorang lagi ahli panel, Ketua Penyelidik dan Pengarah Eksekutif Negara syarikat perkhidmatan hartanah Australia Charter Keck Cramer, Richard Temlett membandingkan model bina dan sewa di negaranya dengan model serupa di seluruh dunia, manakala Pengarah Urusan Savills (Vietnam) Neil MacGregor berkongsi pandangan berhubung potensi pembangunan hartanah Vietnam dan prospek pasarannya.

Perbincangan panel itu dikendalikan oleh Datuk Charlie Chia dari UM Land Bhd.

Siri CEO 2025 mengumpulkan lebih 350 pemimpin kerajaan dan industri, termasuk wakil daripada persatuan sektor swasta dan pihak berkuasa kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan