WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Menteri Luar Asean Tiba Di Langkawi Hadir Permukiman Di Bawah Kepengerusian Malaysia 2025

17/01/2025 02:31 PM

Oleh Linda Khoo

LANGKAWI, 17 Jan (Bernama) -- Menteri Luar dari Asia Tenggara mula tiba di Langkawi untuk Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang dijadualkan bermula pada Sabtu (18 Jan).

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka tiba pada petang Jumaat diikuti oleh menteri luar lain.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Enrique A. Manalo tiba pada Khamis.

Permukiman AMM ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi dan menandakan mesyuarat besar pertama di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi  ASEAN 2025, membuka tirai bagi tahun yang penuh dengan aktiviti penting dan  sibuk dan penuh makna.

Permukiman AMM selama dua hari ini akan dihadiri menteri luar dan wakil dari 10 negara anggota ASEAN.

Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas akan hadir sebagai pemerhati.

Para menteri dijangka bertukar pandangan mengenai hubungan luar ASEAN serta perkembangan serantau dan antarabangsa terkini yang menjadi kepentingan dan kebimbangan bersama.

Pada Jumaat, semua yang menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan Timor-Leste akan menghadiri majlis makan malam sambutan yang dianjurkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar yang juga mengetuai SOM ASEAN Malaysia, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Mesyuarat SOM ASEAN, yang dijadualkan pada Sabtu akan mengumpulkan pemimpin dan wakil semua negara anggota ASEAN serta Sekretariat ASEAN untuk membincangkan pelbagai isu.

Pada awal Jumaat, Penyelaras Pusat Media Antarabangsa (IMC) Zamshari Shaharan mengadakan taklimat media yang memfokuskan kepada persiapan untuk wartawan, jurugambar dan jurukamera sepanjang Permukiman AMM serta kemudahan disediakan di IMC.

Sementara itu, Amran dijadualkan mengadakan sidang media mengenai SOM yang akan datang pada petang Jumaat.

Lebih 200 perwakilan dari 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste dijangka hadir  permukiman ini.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Jan, yang merupakan kali kelima negara ini menjadi pengerusi sejak penubuhannya pada 1967.

Lebih 300 mesyuarat dan program utama akan diadakan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Malaysia pernah menjadi pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan