Oleh Linda Khoo
LANGKAWI, 17 Jan (Bernama) -- Bagi Rozaina Rohimi, menyediakan hidangan Kerabu Bronok dan Latok untuk majlis makan malam alu-aluan Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) pada Sabtu bukan sekadar memasak, tetapi berkongsi cita rasa warisan dengan delegasi asing.
Rozaina, 50, merupakan sebahagian daripada pasukan kulinari di sebuah hotel peranginan di sini, yang bertanggungjawab menyediakan hidangan tempatan eksotik untuk memperkenalkan keunikan Langkawi kepada menteri-menteri luar dan delegasi.
“Saya sangat gembira dan bangga menjadi sebahagian daripada pasukan kulinari yang memperkenalkan hidangan eksotik Langkawi kepada tetamu luar.
“Persiapan saya melibatkan pemilihan bahan-bahan dengan teliti bagi memastikan para kenamaan dan delegasi dapat merasai keaslian cita rasa hidangan ini,” katanya kepada Bernama.
Kerabu Bronok adalah hidangan unik Langkawi yang menggunakan spesies gamat Acaudina molpadioides, manakala Latok atau Caulerpa lentillifera merupakan sejenis rumpai laut yang lazimnya dinikmati sebagai salad atau hidangan sampingan.
Sementara itu, executive sous chef hotel, Elleiry Eddy berkata, mereka mendapatkan 10 kilogram (kg) Bronok dan 8.0 kg Latok daripada pembekal tempatan untuk majlis makan malam itu.
“Bronok adalah spesies gamat yang hanya terdapat di Langkawi. Kerabu Bronok, hidangan yang dibuat daripadanya, boleh diibaratkan seperti ‘sushi’ Malaysia. Kami ingin memperkenalkan hidangan tempatan ini kepada tetamu asing sebagai usaha menonjolkan keunikan gastronomi Malaysia,” katanya.
Elleiry menjelaskan penyediaan Kerabu Bronok memerlukan masa kerana gamat perlu dipotong dan dibersihkan dengan teliti, termasuk menggunakan asam jawa.
“Proses penyediaan yang teliti ini menjadikan hidangan ini istimewa dan unik untuk tetamu,” tambahnya.
Beliau berkata Latok pula merupakan pembuka selera yang popular, dan kebiasaannya dihidangkan bersama sambal kerisik.
Sebanyak 25 orang bertungkus lumus membuat persiapan bagi majlis makan malam alu-aluan pada Sabtu ini, katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menyambut lebih 200 delegasi ke Permukiman AMM hujung minggu ini.
Permukiman AMM selama dua hari bermula Sabtu akan dihadiri menteri-menteri luar dan wakil daripada 10 negara anggota ASEAN, manakala Menteri Luar Timor-Leste akan hadir sebagai pemerhati.
Diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, Permukiman AMM ini merupakan mesyuarat utama pertama di bawah Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, yang akan menjadi pembuka tirai kepada tahun yang sibuk dan signifikan.
Malaysia sebelum ini menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial