WILAYAH - UTARA > BERITA

Rumah Kayu Tradisional Jadi Tarikan Pelancongan Baharu Di Kedah

19/01/2025 10:05 AM

ALOR SETAR, 19 Jan (Bernama) -- Rumah kayu tradisional yang terletak di Dataran Medan Bandar di sini, bakal menjadi tarikan pelancongan baharu dalam usaha untuk terus merancakkan lagi program 'Mai Singgah Alor Setar Lagi' bersempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata rumah kayu yang mempamerkan ciri-ciri seni bina tradisional Kedah itu bakal menarik minat pelancong yang datang ke Alor Setar terutamanya mereka yang gemar untuk mengambil gambar 'outfit of the day' (OOTD).

"Orang ramai boleh datang mengunjungi rumah kayu ini yang dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 5 petang dan sekiranya mereka memerlukan maklumat tambahan, mereka boleh ke Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar (PPPAS) yang terletak berhampiran Balai Besar.

"Selain itu, mereka juga boleh menyewa busana-busana Melayu tradisional yang disediakan di PPPAS dan sudah pastinya mereka yang gemar OOTD tidak akan melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan di rumah kayu berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Mohd Yusri ditemui selepas pelancaran ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi’ dan Rumah Kayu Tradisional yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Datuk Mohd Salleh Saidin.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata rumah kayu yang mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dengan kos kira-kira RM25,000 itu akan dijaga dan dipantau oleh anggota Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam usaha untuk memastikan tiada perbuatan vandalisme dilakukan.

"Ini aset berharga buat Alor Setar, jadi kita tidak mahu sebarang vandalisme dan difahamkan, akan ada lagi penambahan rumah-rumah kayu tradisional di sini dan kita dapat jadikan kawasan ini penuh dengan rumah-rumah tradisional yang dapat menampakkan lagi budaya Melayu," katanya.

Sementara itu, Mohd Salleh berkata rumah kayu berkenaan merupakan inisiatif pihak MBAS dalam menyokong dan membantu merancakkan lagi sektor pelancongan Kedah sempena TMK 2025.

"Ini merupakan usaha yang sangat kreatif oleh MBAS dan mereka manfaatkan segala kelebihan yang ada di Alor Setar untuk menarik pelancong datang ke sini. Rumah kayu tradisional ini bakal menjadi lokasi tumpuan OOTD kepada pelancong yang datang ke sini dan akan menjadi kenangan terindah buat mereka.

"Saya ingin memohon kepada semua pihak supaya dapat memikul tanggungjawab bersama-sama bagi menjaga harta benda dan aset kerajaan negeri ini, jangan lakukan vandalisme, conteng sana-sini.

“Elak semua perkara itu kerana kita dalam usaha mahu mempromosikan sektor pelancongan dan menarik orang luar untuk datang ke Kedah, jadi jaga imej negeri baik-baik," katanya.

"Saya ingin memohon kepada semua pihak supaya dapat memikul tanggungjawab bersama-sama bagi menjaga harta benda dan aset kerajaan negeri ini, jangan lakukan vandalisme, conteng sana-sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan