WILAYAH - SELATAN > BERITA

Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN Fokus Strategi Permudah Perjalanan Rentas Sempadan

19/01/2025 05:38 PM

JOHOR BAHRU, 19 Jan (Bernama) -- Menteri-menteri pelancongan ASEAN mengadakan pertemuan hari ini untuk membincangkan strategi meningkatkan pelancongan serantau dengan menumpukan kepada mempermudah proses rentas sempadan bagi melancarkan lagi perjalanan antara negara anggota.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pelancongan menjadi tunjang penting pertumbuhan ekonomi di rantau ini maka peningkatan kerjasama rentas sempadan mustahak untuk mewujudkan persekitaran pelancongan yang kompetitif dan mudah diakses.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita mesti mempermudah dasar yang akan meningkatkan bilangan kedatangan pelancong. Sudah tentu, kita tidak boleh bertolak ansur dari segi keselamatan tetapi saya percaya isu ini perlu dibincangkan lebih terperinci dalam kalangan negara masing-masing," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan ASEAN ke-28 di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai isu penipuan dalam pelancongan, Tiong menggesa negara anggota ASEAN untuk tidak memandang ringan masalah berkenaan dan mencari penyelesaian yang harmoni memandangkan ia isu utama dihadapi pelancong di rantau ini, walaupun perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat.

Mesyuarat hari ini sebahagian daripada acara utama sempena Forum Pelancongan Asean (ATF) 2025 yang berlangsung dari 15 Jan hingga esok.

Forum berkenaan bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan pertukaran pengetahuan, menjalin peluang rangkaian, dan mengukuhkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi meningkatkan bilangan pelancong melawat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan