WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Menteri Luar ASEAN Nasihatkan Myanmar Supaya Hentikan Keganasan Dalam Negara

19/01/2025 05:38 PM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

LANGKAWI, 19 Jan (Bernama) -- Menteri Luar ASEAN menasihatkan Myanmar supaya mengutamakan usaha menamatkan keganasan di dalam negara itu daripada mengadakan pilihan raya.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mereka turut menekankan keperluan mendesak agar Myanmar mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui ASEAN.

“Satu perkara yang kita tahu ialah mereka (Myanmar) mahu mengadakan pilihan raya, tetapi kita memberitahu mereka bahawa pilihan raya bukan keutamaan pada masa ini,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini, hari ini.

Myanmar diwakili oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar Aung Kyaw Moe dalam mesyuarat itu.

Pada Disember lepas, dilaporkan bahawa seorang diplomat kanan junta Myanmar memaklumkan kepada negara-negara jiran mengenai rancangan mereka untuk mengadakan pilihan raya pada 2025.

Mohamad juga berkata jika pilihan raya diadakan sekalipun, ia harus bersifat inklusif dan bukannya dilaksanakan dalam keadaan “terasing” melibatkan segmen tertentu masyarakat sahaja.

 Konsensus Lima Perkara itu antara lain menyeru agar keganasan dihentikan segera, dialog diadakan dalam kalangan semua pihak, pelantikan utusan khas, membenarkan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN, serta membolehkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu semua pihak.

Mengenai 5PC, Mohamad berkata para menteri ASEAN menegaskan bahawa garis panduan itu serta keputusan pemimpin ASEAN menjadi panduan utama dalam menangani situasi di negara itu, dan menyeru Myanmar supaya melaksanakannya.

Beliau menyatakan, para menteri menekankan keperluan meneruskan usaha bagi mencapai resolusi damai yang inklusif dan berkekalan di Myanmar, dan akan menyumbang kepada keamanan, keselamatan, dan kestabilan dalam rantau ini.

“Oleh itu, kita menyeru semua pihak agar menghentikan permusuhan serta-merta, mengutamakan akses kemanusiaan, dan mewujudkan persekitaran bagi dialog inklusif,” katanya.

Mohamad turut memaklumkan bahawa para menteri luar menyatakan sokongan terhadap pelantikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Tan Sri Othman Hashim, sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar.

Beliau berkata Othman adalah individu yang sesuai untuk berunding dengan Myanmar dan rakan-rakan ASEAN lain berdasarkan pengalamannya yang luas.

“Dialog dan diplomasi sangat penting dan itulah sebabnya Tan Sri Othman Hashim, sebagai Utusan Khas kita ke Myanmar, boleh menjalankan tugasnya dengan bercakap kepada setiap segmen di Myanmar, supaya kita tahu apa yang mereka fikirkan.

Tanpa mengetahui apa yang mereka fikirkan, adalah sukar. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memaksakan (5PC) ke atas mereka. Kita juga mahu tahu apa pandangan mereka,” katanya.

Othman pernah berkhidmat di beberapa negara termasuk Romania, Switzerland, dan China. Beliau juga pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Republik Czech, Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Duta Besar ke Amerika Syarikat.

Beliau turut mewakili Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) dan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi tetap UNHRC antara 2009 dan 2012.

Isu Myanmar berpusat pada krisis politik dan kemanusiaan yang berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, yang telah menguji perpaduan ASEAN serta mencabar prinsip tidak campur tangan dan konsensus dalam menangani kestabilan serantau serta hak asasi manusia.

Bagi kepengerusiannya dalam ASEAN tahun ini, tumpuan kini terarah kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan harapan tinggi terhadap peranan lebih besar Malaysia dalam memacu kemajuan serantau.

Permukiman AMM selama dua hari yang berakhir hari ini merupakan mesyuarat utama pertama di bawah Pengerusi ASEAN, Malaysia pada 2025 yang membuka tirai kepada tahun yang sibuk dan signifikan.

Malaysia sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan