WILAYAH - UTARA > BERITA

Pelancaran Aplikasi 'FAST' MBAS Langkah Ke Arah 'Kedah Cashless'

19/01/2025 07:12 PM

ALOR SETAR, 19 Jan (Bernama) -- Pelancaran aplikasi Friendly and Smart Technology (FAST) oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) adalah selari dengan visi ke arah Kedah Tanpa Tunai (Cashless) 2025, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata dengan adanya pelbagai aplikasi termasuk FAST MBAS, penggunaan tunai semakin dapat dikurangkan sekali gus diharap peralihan ke sistem digital diterima sebagai norma dalam kalangan rakyat.

"Semua transaksi kini boleh dilakukan melalui satu platform mudah, pantas, dan efisien. Ia juga satu lagi langkah penting MBAS untuk memajukan sistem penyampaian perkhidmatan, khususnya di bandar raya ini dan di negeri Kedah amnya.   

"Aplikasi FAST MBAS bukan sahaja membolehkan orang ramai membayar cukai pintu tetapi turut menyediakan kemudahan untuk membuat bayaran lain seperti sewaan gerai dan premis, lesen, kompaun serta pelbagai perkhidmatan lain," katanya dalam ucapan pelancaran aplikasi itu di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini akan turut mengambil langkah sama kerana penggunaan teknologi dalam kehidupan harian ialah satu perubahan yang perlu dihadapi seiring perkembangan dunia. 

Sementara itu, Datuk Bandar MBAS Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata FAST MBAS menjadi satu titik perubahan daripada kaedah konvensional kepada sistem berteknologi, khususnya dalam pengurusan kutipan hasil dalam bandar raya ini.

FAST MBAS ialah sistem pembayaran pintar menggunakan aplikasi mobil, web dan kiosk pintar berteknologi terkini bagi memacu agenda pembangunan bandar raya pintar.

"Aplikasi ini dibangunkan untuk merevolusikan pengurusan kutipan hasil cukai taksiran, sewa premis, pembayaran kompaun, lesen dan bil pelbagai dengan memanfaatkan pembayaran secara masa nyata menggunakan aplikasi mobil sebagai medium utama dan disokong sistem web dan kiosk pintar.  

"Pelaksanaan FAST MBAS adalah selari dengan agenda MBAS untuk mewujudkan bandar pintar yang akan menjadi nilai tambah kepada kesejahteraan warga Alor Setar," katanya.

Seiring dengan promosi Tahun Melawat Kedah 2025, FAST MBAS turut memaparkan informasi berkaitan destinasi pelancongan dan tempat menarik termasuk lokasi tumpuan ramai untuk makan serta minum di sekitar bandar raya Alor Setar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan