PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan pihak penganjur perhimpunan di ibu negara pada Sabtu ini, agar mematuhi setiap peruntukan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau berkata aspek pematuhan tersebut meliputi tanggungjawab peserta, penganjur perhimpunan dan pihak polis.
“Saya gesa pihak penganjur cuba teliti balik (Akta Perhimpunan Aman) dan apakah perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab peserta, penganjur perhimpunan dan polis,” katanya kepada pemberita selepas meninjau reruai pada Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata tugas polis adalah untuk memudah cara sebarang perhimpunan yang diadakan, selagi ia mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa satu perhimpunan bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ dijadual berlangsung pada 25 Jan.
Perhimpunan tersebut dikatakan susulan kepada perhimpunan Ambang Tahun Baru yang diadakan di Sabah baru-baru ini, yang dianjurkan oleh golongan pelajar untuk membantah ahli politik negeri yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah.
Akta Perhimpunan Aman 2012 digubal bagi memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dapat dilaksanakan dengan teratur, tanpa mengganggu ketenteraman awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial