WILAYAH - SARAWAK > BERITA

32 Individu Cedera Dalam Kejadian Letupan Kilang Kimia Di Klang

21/01/2025 03:23 PM

KLANG, 21 Jan (Bernama) -- Polis mengesahkan sebanyak 32 individu tercedera dalam kejadian letupan di kilang pemprosesan bahan kimia kitar semula di Taman Perindustrian Kapar Indah, Klang petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata individu yang tercedera berusia antara 20 hingga 40 tahun dan berada di sekitar lokasi terbabit semasa letupan berlaku.

"Kesemua mereka yang merupakan warga tempatan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang dengan tiada kecederaan serius dilaporkan. 

"Mereka juga telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital itu," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian petang ini mendapati pihak polis dan bomba serta petugas daripada Pejabat Kesihatan Klang berada di lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut. 

Terdahulu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Nor Aziah Jaafar dilaporkan berkata elemen kecuaian dan pelanggaran syarat lesen antara yang akan disiasat dalam kejadian itu. 

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan pula dilaporkan berkata siasatan awal pihaknya mendapati letupan terbabit berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di pekarangan kilang berkenaan. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan