KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan teknologi maklumat (IT) perusahaan TechStore Bhd menyasar meraih RM25 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 18 Feb, 2025.
Pengarah urusannya, Eugene Tan Hock Lim berkata sejak ditubuhkan hampir 14 tahun lepas, syarikat itu merancang untuk berkembang menerusi hasil daripada IPO.
“Kami mempunyai pelbagai sebab untuk mengembangkan syarikat seperti membuka cawangan, mengambul lebih ramai pekerja dan membeli jentera.
“Jadi, ini merupakan apa yang kami perlu lakukan kerana yakin dengan bekerja keras kami akan memperoleh keputusan yang baik,” katanya pada sidang media susulan pelancaran prospektus syarikat itu, di sini, hari ini.
Menurut prospektus tersebut, daripada RM25 juta hasil itu, RM11.5 juta akan diperuntukkan sebagai modal kerja bagi menyokong projek pada masa depan dan kos berkaitan pekerja, RM5.0 juta bagi membayar pinjaman bank dan RM2.7 juta bagi pengambilan kakitangan pembangunan perniagaan.
Sementara, RM2.3 juta akan diperuntukkan bagi perbelanjaan modal membeli peralatan, komputer, perkakasan, perisian IT dan membuka pejabat cawangan baharu di Johor Bahru, manakala baki RM3.5 juta akan digunakan untuk membiayai kos penyenaraian.
Menerusi satu kenyataan Tan berkata syarikat itu mengkhususkan dalam perkhidmatan IT perusahaan terutama dalam sektor pengangkutan.
“Pembabitan kami dalam dua daripada tiga laluan LRT di Lembah Klang, sumbangan dalam laluan pertama MRT di Malaysia dan penyertaan dalam projek RTS Link Singapura-Malaysia membuka peluang kepada projek baharu.
“Ketika kami mengorak langkah kehadapan, kami percaya hasil daripada IPO mampu menjadi pemangkin untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam pasaran dan memacu pertumbuhan masa depan,” katanya.
TechStore berkata syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM100.0 juta selepas penyenaraian berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 500.0 juta sesaham dan harga IPO 20 sen sesaham.
“Pelaksanaan IPO kumpulan terdiri daripada terbitan 125.0 juta saham biasa baharu dalam TechStore, membentuk 25.0 peratus daripada modal saham diperbesarkan kumpulan.
“Selain itu, tawaran saham persendirian akan dilaksanakan bagi tawaran jualan 25.0 juta saham sedia ada, bersamaan 5.0 peratus saham diperbesarkan,” kata syarikat itu.
Daripada 125.0 juta saham baharu, 25.0 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menerusi undian saham, 25.0 juta saham kepada pengarah yang layak, kakitangan dan individu yang menyumbang kepada kejayaan TechStore.
Sementara itu, 62.5 juta saham akan ditawarkan menerusi tawaran saham persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala baki 12.5 juta saham akan ditawarkan secara tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.
Setakat 31 Dis, 2024, kumpulan itu mempunyai 11 projek yang sedang dibangunkan, nilai perolehan kontrak belum dibil RM104.7 juta dan nilai tender lebih kukuh sebanyak RM647.2 juta.
Permohonan bagi IPO bermula hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 4 Feb, 2025.
M&A Securities adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen tawaran saham.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial