BERITA TERGEMPAR   Malaysia and ASEAN should continue to engage, attract investors from the United States, Europe and China without being forced to take sides -- PM Anwar | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dolar AS Dijangka Mengukuh Tahun Ini Walaupun Pasaran Tidak Menentu - Manulife

22/01/2025 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka mengukuh pada tahun ini di walaupun terdapat amaran mengenai kemungkinan berlakunya ketidaktentuan pasaran, kata Manulife Investment Management.

Ketua Pegawai Pelaburan bagi Pendapatan Tetap Asia (tidak termasuk Jepun) Murray Collins berkata ketidaktentuan itu sebaliknya menjadi peluang yang boleh dimanfaatkan oleh pelabur.

“Dalam penelitian ke atas bank-bank pusat di rantau ini, kami mendapati ia menyasarkan penurunan kadar faedah tahun ini, malah ada di antaranya telah menyatakan hasrat itu.

“(Namun), kekangan terhadap hasrat itu adalah kekuatan dolar AS dan sebarang turun naik terhadap ekonomi domestik juga disebabkan oleh pengukuhan mata wang itu,” katanya pada sesi taklimat media Unjuran Pelaburan Asia 2025 Manulife Investment Management sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Portfolio Kanan dan Ketua Peruntukan Aset Asia Luke Browne berkata pendekatan propertumbuhan pentadbiran baharu AS itu mempunyai perkembangan positif walaupun pada masa sama masa turut menjejaskan pihak tertentu.

"Bagi saya, akan berlaku keadaan seperti pasaran yang lebih ketara dari segi kesan sekatan atau tarif.

“AS misalnya terlebih dulu menyasarkan negara jiran terdekatnya dan bagi saya, ini akan diperluaskan ke serata dunia dengan blok perdagangan lebih besar seperti Eropah dan China menjadi tumpuan seterusnya,” katanya.

Di peringkat tempatan, Pengurus Kanan Portfolio bagi Ekuiti Kenglin Tan berkata pasaran Malaysia mencatat prestasi cemerlang pada 2024, didorong terutamanya oleh sektor berkaitan teknologi yang menyaksikan pertambahan pusat data.

Beliau bagaimanapun menjangkakan Malaysia akan berdepan beberapa cabaran pada 2025, terutama dari segi pelaburan pusat data.

“Dalam tempoh awal 2025, kami melihat cabaran tertentu di pasaran membabitkan khususnya pelaburan pusat data berikutan dasar AS mengenai kawalan ke atas cip.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan rancangan kerajaan dilaksanakan bagi merangsang penggunaan domestik serta sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Mengulas rantau ASEAN, Tan berkata kerajaan-kerajaan berkaitan akan mengetengahkan dasar domestik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi di peringkat tempatan serta pertumbuhan pelaburan langsung asing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan