WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EU Tolak Dakwaan Presiden Trump Mengenai Defisit Perdagangan AS

23/01/2025 07:47 PM

BRUSSELS, 23 Jan (Bernama-dpa) -- Suruhanjaya Eropah menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menyatakan bahawa Amerika Syarikat mengalami defisit perdagangan sebanyak US$350 bilion dengan Kesatuan Eropah, lapor agensi berita Jerman dpa.

Jurucakap suruhanjaya sebaliknya menyangkal kenyataan itu dan berkata defisit sebanyak US$350 bilion itu tidak wujud sebaliknya memberi gambaran yang AS dan EU mempunyai kekuatan saling melengkapi. "Kami mempunyai lebihan dalam perdagangan barangan, AS mempunyai lebihan dalam perdagangan perkhidmatan," katanya.

Pada sidang media di Rumah Putih pada Isnin, Trump berkata defisit perdagangan AS dengan EU berjumlah US$350 bilion dan kerana itu sekali lagi mengancam blok tersebut dengan tarif.

"Mereka melayan kita (AS) dengan sangat buruk, jadi mereka akan dikenakan tarif," kata Trump, sambil mendakwa yang EU tidak membeli kereta atau produk pertanian.

Bagaimanapun, menurut angka EU, AS mengeksport barangan bernilai €347.1 bilion ke EU pada  2023, sementara barangan bernilai €503.8 bilion dieksport dari EU ke AS.

Dalam tahun yang sama, kata jurucakap itu, eksport perkhidmatan AS ke EU berjumlah €396.4 bilion, berbanding €292.4 bilion eksport EU ke AS.

Jurucakap suruhanjaya itu berkata blok itu berhasrat bekerjasama secara konstruktif dengan pentadbiran AS yang baharu, tetapi bersedia untuk mempertahankan kepentingannya jika perlu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerman Bernd Lange berkata beliau juga melihat adanya kesediaan untuk berunding oleh pihak Trump.

Lange berkata sebagai contoh, untuk mengurangkan defisit dalam perdagangan barangan, EU boleh mengimport lebih banyak gas asli cecair, teknologi ketenteraan dan barangan pertanian dari AS.

Selain itu, beliau berkata kemungkinan lain adalah dengan mengurangkan cukai import untuk kereta AS, yang berada pada kadar 10 peratus, jauh lebih tinggi berbanding kadar 2.5 peratus di AS.

--BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan