WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Syarikat Pastri, Pengarah Didakwa Guna Logo Halal Tanpa Kelulusan

24/01/2025 04:30 PM

PETALING JAYA, 24 Jan (Bernama) -- Sebuah syarikat pastri dan pengarah syarikat terbabit dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan menggunakan logo halal dan cap dagangan berdaftar tanpa kelulusan untuk membekalkan 366 sandwic pelbagai jenis.

Ewe Sarn Yeun, 65, dan syarikat Shake And Bake Cafe Sdn Bhd mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh dan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Berdasarkan enam pertuduhan, Ewe dan syarikatnya didakwa menawarkan untuk membekalkan produk makanan termasuk 50 Mixed Tuna Sandwich, 43 Mixed Potato Sandwich, 77 Mixed Chicken Sandwich, 74 Egg Mayo Sandwich, 66 Ham & Cheese Sandwich dan 56 Chili Crabstick Sandwich yang diperihalkan menggunakan logo halal Malaysia. Perbuatan itu bertentangan dengan Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat pastri terbabit di Sunway Damansara di sini pada 12.50 tengah hari, 10 Jan lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Perenggan 8(b) perintah sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syarikat itu pula didakwa mengikut Perenggan 8(a) perintah serupa yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan, jika sabit kesalahan.

Ewe dan syarikat itu turut menghadapi satu pertuduhan menggunakan cap dagangan berdaftar, iaitu Logo Halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic di lokasi, tarikh dan waktu sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang berdepan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM20,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syarikat itu pula didakwa di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar manakala kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 bagi setiap barang, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi mencadangkan jaminan RM60,000 bagi setiap pertuduhan, mengambil kira ia kes berkepentingan awam.

Beliau turut memohon syarat tambahan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat KPDN Putrajaya sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh dan syarikat itu, memohon jaminan keseluruhan RM120,000 dengan alasan Ewe yang merupakan pemastautin tetap di Amerika Syarikat, mempunyai reputasi baik dan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

“Isu kepentingan awam yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan bukan terhadap tertuduh, sebaliknya terhadap satu syarikat lain yang tular di dada akhbar dan media sosial,” kata peguam itu.

Shafiq bagaimanapun, menegaskan bahawa pertuduhan itu berdasarkan video tular dalam media sosial, dan syarikat serta pengarah terbabit ialah pembekal kepada produk yang menjadi isu.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan kes pada 5 Mac ini dan membenarkan jaminan RM130,000 dengan tiga penjamin bagi kesemua pertuduhan serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

Pada 13 Jan lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk ham and cheese yang dijual di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan