TANAH MERAH, 25 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip RM12.5 juta saman tertunggak hasil inisiatif tawaran kompaun khas kadar rata RM150 sejak awal Januari.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kompaun khas itu melibatkan tiga kesalahan iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
“Sehingga 23 Januari, kita sudah kutip RM12.5 juta melibatkan 83,000 saman yang diselesaikan dan kita menggesa orang ramai mengambil peluang pada masa ini.
“Ini kerana kadar kompaun khas hanya dibuka sehingga 30 Jun depan, yang boleh dibayar iaitu kompaun AwAS sebanyak RM150 sahaja berbanding kompaun asal RM300,” katanya di Tanah Merah di sini hari ini.
Beliau berkata sekiranya saman tidak dijelaskan sehingga 1 Julai nanti, pihaknya akan mengambil tindakan lebih tegas dengan mengenakan sekatan urus niaga dan disenaraihitamkan sehingga saman itu dijelaskan.
Aedy Fadly berkata mereka yang gagal membayar tunggakan saman juga tidak boleh memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sehingga ia dijelaskan.
“Pada masa sekarang, kita dalam tempoh pemutihan, jadi peluang dibuka kepada semua untuk membuat bayaran tunggakan saman mengikut kadar kompaun khas sehingga 30 Jun nanti.
“Pembayaran kompaun khas ini boleh dibuat melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam JPJ dan Aplikasi MyJPJ,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial