TAIPING, 27 Jan (Bernama) -- Polis setakat ini telah merakam keterangan dua pegawai Penjara Taiping serta 80 banduan berkaitan kes seorang banduan meninggal dunia dipercayai dipukul oleh warden penjara berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata pihaknya menerima laporan mengenai kes kematian tersebut pada 17 Jan lepas dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Setakat ini tiada lagi tangkapan ke atas mana-mana individu. Siasatan yang telus akan terus dijalankan dan kita juga sedang menyiasat punca kematian banduan terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kawalan Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2025 peringkat Polis Kontinjen Perak di Plaza Tol Taiping Selatan, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini hari ini.
Terdahulu, ketika ditemui media di hadapan Penjara Taiping keluarga tahanan reman terlibat merayu pihak berwajib menjalankan siasatan secara adil bagi memastikan punca sebenar kejadian.
Anak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Gan, 20, berkata kejadian menimpa bapanya berlaku secara mengejut selain timbul kesangsian berhubung punca kematian mangsa menerusi laporan bedah siasat dikeluarkan hospital Taiping.
“Mereka (petugas penjara) hubungi keluarga saya sekitar 6 petang (17 Jan) dan maklumkan bahawa mangsa telah dihantar ke unit kecemasan Hospital Taiping akibat kesukaran bernafas.
“Bagaimanapun, ayah saya gagal diselamatkan dan apabila keputusan bedah siasat dikeluarkan pihak hospital memaklumkan ayah saya mengalami kecederaan di bahagian perut akibat objek tumpul,” katanya.
Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata kali terakhir dia menemui bapanya empat bulan lepas sebelum bapanya dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke Penjara Taiping pada 16 Jan lepas atas kesalahan memiliki dadah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial