WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hamas Kata Kepulangan Ke Utara Gaza Kemenangan Untuk Rakyat Palestin

27/01/2025 05:44 PM

ANKARA, 27 Jan (Bernama-AA) -- Ketika rakyat Palestin yang dipindahkan mula kembali ke kediaman mereka di utara Semenanjung Gaza pada Isnin, buat pertama kali sejak Israel melancarkan peperangan pada Oktober 2023, Hamas menyatakan bahawa kepulangan itu merupakan satu kemenangan bagi rakyat Palestin dan kekalahan bagi Israel serta pelan pengusirannya, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Kepulangan rakyat yang dipindahkan adalah satu kemenangan bagi rakyat kami dan satu pengisytiharan kegagalan serta kekalahan pendudukan (Israel) dan rancangan pengusirannya,” kata pemimpin kanan Hamas, Izzat al-Rishq dalam satu kenyataan.

“Kepulangan rakyat kami ke rumah mereka sekali lagi membuktikan kegagalan pendudukan Israel dalam mencapai matlamat agresifnya untuk mengusir rakyat kami dan mematahkan semangat mereka,” tambah beliau.

Beliau turut menggesa agar penghantaran bantuan kemanusiaan ke semua kawasan di wilayah terkepung itu dipertingkatkan, menyaksikan kempen ketenteraan Israel sejak 7 Okt 2023 telah meragut lebih daripada 47,000 nyawa dan menyebabkan sebahagian besar penduduknya kehilangan tempat tinggal.

Puluhan ribu rakyat Palestin mula kembali ke utara Gaza sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas, yang mula berkuat kuasa pada 19 Jan.

Tentera Israel memaklumkan bahawa rakyat Palestin akan dibenarkan kembali ke utara Gaza dengan berjalan kaki melalui Koridor Netzarim dan Jalan Al-Rashid di kawasan pantai bermula 7 pagi waktu tempatan (0500GMT).

Perkembangan ini berlaku selepas Qatar mengumumkan bahawa kumpulan Palestin itu bersetuju untuk membebaskan tebusan wanita Israel, Arbel Yehud, dan dua yang lain menjelang Jumaat.

Pada Sabtu, Hamas membebaskan empat anggota tentera wanita Israel sebagai pertukaran untuk 200 tahanan Palestin.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan