WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Operasi Mencari Kanak-Kanak Sembilan Tahun Yang Dikhuatiri Lemas Diteruskan

28/01/2025 06:26 PM

KOTA TINGGI, 28 Jan (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil selipar di Jalan Kundang, Taman Kota Jaya di sini semalam, diteruskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata operasi mencari Mohammad Rayyan Alif Mohd Sharif diteruskan sekitar pukul 8.30 pagi, selepas dihentikan pada 12 tengah malam tadi, kerana tiada petunjuk ditemukan.

Beliau berkata pasukan SAR terdiri daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) negeri serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Pencarian hari ini meliputi kawasan radius dua kilometer dari Rumah Pam Taman Kemang, selain melakukan rondaan di sekitar Sungai Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata siasatan awal mendapati mangsa cuba mengambil seliparnya yang jatuh ke dalam longkang besar sebelum terjatuh dan dibawa arus air deras.

"Rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian telah bertindak menjerit meminta bantuan dan didengari orang awam sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan