KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Maxis menyalurkan RM2.2 juta kepada kerajaan menerusi Dana Ihsan MADANI untuk membantu penduduk terjejas akibat banjir, meliputi sumbangan wang dan barangan yang terdiri daripada bekalan keperluan, kotak makanan, WiFi percuma, kad SIM mudah alih dan tambah nilai.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata pihaknya komited untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka yang terkesan akibat kesukaran.
"Melalui sumbangan kami kepada Dana Ihsan MADANI dan dengan menyediakan bantuan asas secara langsung, kami membantu komuniti pulih dan berkembang maju," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terbaharu, Maxis juga telah menyumbang 500 kotak makanan kepada penduduk di Kampung Baru Nelayan, Tumpat dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen).
Majlis penyerahan kotak makanan berkenaan diadakan bersama keluarga terjejas akibat banjir, yang dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa di Tumpat baru-baru ini.
Fahmi berkata kerjasama strategik ini selaras dengan nilai ihsan yang sinonim dengan sifat prihatin dan belas kasihan, merangkumi kasih sayang terhadap orang lain termasuk ahli keluarga, rakan dan masyarakat keseluruhannya bagi meringankan beban mangsa banjir.
"Inisiatif ini menampilkan kebersamaan dan solidariti syarikat korporat terhadap nasib golongan yang terjejas, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial