WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Serbu Stor Haram Seleweng LPG Bersubsidi Di Kulai

28/01/2025 07:01 PM

KULAI, 28 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas 903 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah stor haram di sini hari ini.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata serbuan itu hasil aduan orang ramai melalui inisiatif KITA GEMPUR dan risikan sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata stor itu didapati menyimpan LPG selain disyaki sebagai tempat memindahkan LPG bersubsidi daripada tong berkapasiti 14 kilogram (kg) ke dalam tong LPG kegunaan industri berkapasiti 50kg.

“Pemeriksaan lanjut mendapati stor berkenaan tidak mempunyai permit penyimpanan gas atau lesen barang kawalan berjadual LPG.

“Sebanyak 903 tong LPG berkapasiti 14kg dan 50kg serta beberapa dokumen telah disita dengan nilai rampasan dianggar sehingga RM80,000 manakala empat lelaki warga asing dipercayai pekerja stor berumur lingkungan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut dilakukan untuk mengenal pasti pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran atau rangkaiannya, termasuk sumber LPG itu diperolehi.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan