WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Giat Latih Penanaman Padi Beralih Ke Teknologi Moden

28/01/2025 09:37 PM

GEDONG (Sarawak), 28 Jan (Bernama) -- Sarawak kini giat mendidik petaninya untuk beralih daripada kaedah tradisional ke kaedah baharu dalam penanaman padi yang menggunakan mesin dan teknologi moden.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu turut melibatkan kerjasama pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk menyakinkan petani menggunakan kaedah moden tersebut.

“Orang kampung kalau mereka melihat sendiri baru mereka percaya, sebab itu saya (kerajaan) beli mesin dan beri kepada persatuan peladang yang kemudian akan menyewakannya kepada petani. 

“Setiap keluarga petani biasanya memiliki dua hektar tanah untuk penanaman padi dan mesin ini hanya mengambil masa sejam untuk menyelesaikan kerja. Dengan pendekatan ini, kerajaan sasarkan lebih 240,000 tan metrik padi dihasilkan termasuk oleh petani kecil-kecilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Digital Desa di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Abang Johari berkata Sarawak menyasarkan pengeluaran padi sebanyak 240,000 tan metrik untuk  memastikan keterjaminan bekalan makanan ruji tersebut, menjelang 2030.

Sementara itu, Ewon berkata di bawah inisiatif pandang ke Malaysia Timur, Kementerian Pembangunan eushawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memberikan fokus tambahan kepada pembangunan usahawan dan koperasi di Sabah dan Sarawak.

“Tahun ini, seiring dengan perancangan pembangunan Sarawak, saya yakin kita (kementerian) mampu menambah pembiayaan yang diperlukan oleh usahawan Perusahaan  Kecil dan Sederhana (PKS) serta koperasi di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata tahun lepas, kementerian menerusi agensi pelaksana seperti Bank Rakyat dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.08 bilion yang memanfaatkan 42,689 usahawan dan koperasi di negeri ini. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan