WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jawatankuasa Bencana Sarawak Bakal Bincang Isu Keselamatan Kediaman Lereng Bukit - Uggah

30/01/2025 02:20 PM

KUCHING, 30 Jan (Bernama) -- Isu keselamatan kediaman di kawasan lereng bukit akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam masa terdekat, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata perkara itu turut akan dibentangkan kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

"Perlu ada kajian terhadap rumah-rumah di kawasan lereng bukit, dan kami juga berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengambil perhatian terhadap perkara ini."

"Buat masa ini, penduduk kampung yang tinggal di kawasan lereng bukit dinasihatkan supaya berpindah segera jika keadaan rumah tidak selamat untuk diduduki," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Batu Kawa di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri akan menerima bantuan kewangan serta sokongan psikologi.

Fatimah berkata kerajaan Sarawak akan membayar RM10,000 sebagai pampasan kematian bagi setiap individu yang terkorban dalam kejadian itu yang akan diserahkan kepada waris mangsa.

"Ini adalah musibah yang sangat berat untuk ditanggung mereka. Di bawah Jabatan Kebajikan, kita juga menyediakan kaunselor untuk membantu memberi sokongan emosi," katanya.

Dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit pada 2.58 pagi Rabu, lima mangsa terkorban yang dikenali sebagai Sazarena Arabi, 41, Fatimah Dawi, 71, Irsyad Syairah, 16, Nur Raisyah Syahirah, 8, dan Nur Rania Syafiqah, 11.

Kesemua mangsa merupakan ahli dua keluarga yang tinggal bersebelahan di satu lot tanah. Sementara itu, tujuh lagi mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita berusia antara 17 hingga 71 tahun terselamat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan